Laman Utama
Rozita Che Wan Cabar Diri Menyanyi – “Bukan Nak Bersaing Dengan Penyanyi Sedia Ada…”
Pelakon Rozita Che Wan mengakui tidak mudah baginya menerima tawaran untuk menyanyi, namun menganggap ia sebagai satu cabaran.
Walaupun hanya muncul dengan sebuah lagu 'jingle' produk kecantikan Mylea, dia tidak yakin dan tidak sanggup menyanyi pada mulanya.
“Saya tahu vokal saya tak meletup macam penyanyi-penyanyi sedia ada. Bak kata orang ukur baju di badan sendiri. Tapi disebabkan ia permintaan daripada pengasas produk itu sendiri, saya cabar diri saya menyanyi.
"Lagipun saya tak anggap ia sebagai satu projek yang serius apatah lagi nak berentap di Anugerah Juara Lagu. Walau ada yang memuji kata saya boleh menyanyi, tapi saya rasa mereka puji tu sekadar nak ambil hati,” katanya ketawa.
Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta berkata, jingle ciptaan DJ Fuzz berdurasi 30 saat itu sudah pun mula dimainkan di radio.
"Lagu itu telah pun dimainkan di corong radio dan sejujurnya saya akui suka dengan rentak lagunya yang santai dan ada elemen dangdut sikit.
“Kalau nak tahu walaupun itu hanya berdurasi 30 saat saya ambil masa satu jam lebih untuk merakamnya,” katanya.
Tambah Che Ta lagi, dia tidak peduli sekiranya menerima kecaman daripada kerana projek nyanyian tersebut.
"Saya dah biasa kena kecam, apa sahaja yang negatif yang saya tak terima? Semua itu tak jadi kudis pun,” katanya yang baru baru ini dilantik sebagai duta platform E-Dagang, Warongku di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.
Dalam perkembangan lain, Che Ta juga teruja untuk membintangi Kiah Pekasam versi filem terbitan Zeel Production.
"Sudah 11 tahun usia naskah Kiah Pekasam yang melonjakkan nama saya. Daripada tiga musim drama ke beberapa siri telefilem, ia akhirnya direalisasikan ke bentuk filem pula.
"Insya-Allah 8 Mei ini saya akan ke Perlis untuk memulakan penggambaran. Memang produksi nak kejar momen musim mangga harum manis di sana.
"Penggambaran filem itu akan berehat seketika memberi laluan kepada sambutan lebaran dijangka 13 Mei nanti. Pelakon asal juga akan berlakon termasuk suami saya," katanya.
Che Ta kini sedang menjalani penggambaran drama komedi Assalamualaikum Mustafa, terbitan Country Universal Sdn Bhd di samping Kazar dan Syazwan Zulkifly.