Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ruffedge Tak Sangka Dapat Sambutan Luar Jangka Peminat Di Singapura!

Amri Hassan
10/07/2023 10:52 MYT
Kumpulan vokal R&B, Ruffedge telah berjaya menawan hati peminat mereka di Singapura dalam konsert istimewa Ruffera ‘That Moment In Time’ di The Theatre Mediacorp pada 24 Jun lalu.

Kata Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah, ternyata Azan, Cat, Mode, Sein dan Zain masih lagi berbisa dan bertenaga dalam menghiburkan peminat mereka dalam persembahan hampir 3 jam tanpa henti.

"Pertama sekali terima kasih kepada peminat-peminat Ruffedge di Singapura yang hadir menyaksikan persembahan istimewa mereka yang sememangnya ditunggu-tunggu selama ini.

"Jualan tiket di Singapura, Malaysia dan juga Brunei tidak mengecewakan dan sangat memberangsangkan, ternyata Ruffedge mempunyai pengaruh yang besar dalam industri muzik," katanya.

A post shared by YOLO Malaysia (@yolo_malaysia)

Peminat terkejut

Umum diberitahu bahawa ini adalah konsert terbesar yang terakhir oleh Ruffedge di Singapura, kata salah seorang pengunjung konsert, biarpun terkejut, ramai yang terhibur dengan persembahan kumpulan terbabit.

"Kami agak terkejut dengan pengumuman tersebut, namun tetap terhibur dengan persembahan mereka yang diserikan dengan visual dan konsep konsert yang menarik.

"Setiap lagu yang dibawakan mereka menggamit memori seawal tahun 2000 sehingga sekarang, sungguh menakjubkan!" kata salah seorang peminat Ruffedge.

Bagi anggota kumpulan Ruffedge, Sein, mereka tidak menyangka konsert mereka mendapat sambutan luar jangkan dari peminat di Singapura.

"Kami sangat berterima kasih dengan sambutan dan layanan istimewa yang diberikan daripada peminat setia yang kebanyakannya merupakan peminat tegar dari dahulu, selain itu ada juga dari kalangan penonton yang hadir merupakan penyanyi hip-hop dan R&B baharu dari Singapura yang membuatkan kami rasa terharu," katanya.

16 lagu

Konsert yang menampilkan DJ Uno itu mendendangkan lebih 16 buah lagu popular Ruffedge antaranya Tipah Tertipu, Tiada Lagi Cinta, Lemas, Da Bomb, Bila Rindu, Khayalan dan banyak lagi.

Penonton juga disajikan dengan kejutan istimewa dari Ruffedge bersama-sama pengarah muzik pada malam itu iaitu Datuk Acis dengan menyayikan lagu-lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu seperti Azura (Datuk Jamal Abdillah), Suraya (Indigo) dan Rozana (Search) secara R&B.

Tambah Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, Hamka Mohd Taufik, konsert terbabit membawa dimensi baharu dalam persembahan pentas.

"Dengan menerapkan konsep pemodenan ke dalam YOLO x Ruffedge Ruffera ‘That Moment In Time’, kami telah berjaya membawa dimensi baharu dalam pertunjukan secara ‘live’ yang dapat menghiburkan penonton tidak kira peringkat umur.

"Sebagai penganjur, YOLO Asia & Malaysia akan terus menerus memberikan lebih banyak lagi konsert-konsert bertaraf dunia yang akan mewarnai persada muzik negara mahupun luar," katanya.

Penanda aras YOLO

Tambah Pengasas YOLO Asia, Ib Harun; "Kami telah menetapkan penanda aras untuk kesemua konsert yang dianjurkan oleh YOLO, dan ini ternyata salah satu kejayaan terbesar kami yang berjaya dikecapi untuk lebih lagi persembahan yang hebat di masa-masa akan datang."

Jangan lupa untuk mendapatkan tiket ke konsert Ruffera ‘That Moment In Time Tour’ di Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 19 Ogos 2023 ini di Mega Star Arena pada harga seperti berikut: RM168 (Free Standing), RM 238 (Standard Seats), RM268 (Dance Zone), RM288 (Premium Seating), RM328 (Ruff Zone) dan RM3,888 (Premium+ Seating/6 pax) di laman web yoloasia.com.
#Viral #Konsert #Ruffedge #Singapura #Ruffera #YOLO
;