Pelakon Nina Iskandar mendedahkan dia menjadi salah seorang daripada mangsa penipuan (scammer) peniaga atas talian (online) yang menjual produk bayi.

Kata Nina, dia mulai syakwasangka apabila barang yang dipesannya tidak sampai selepas tempoh dua bulan.

"Saya menghabiskan beratus-ratus ringgit untuk membeli barangan keperluan anak lelaki saya pada April lalu. Yang lucunya mereka tidak menghantarkan pun tracking number kepada saya tetapi hanya nombor tempahan saja.

"Dua minggu berlalu dan saya tidak menerima apa-apa barangan. Bila minta tracking link baru mereka bagi.

"Barang tak sampai pada tarikh yang dijanjikan," kongsinya menerusi Instagram Stories.



Nina kemudiannya bertindak menghantarkan emel kepada kedai atas talian itu untuk membuat aduan selepas barangan yang dibeli tidak sampai biarpun sudah dua bulan.

Namun, Nina akhirnya sedar dia ditipu selepas mendapati tracking number yang diberi oleh kedai terbabit tidak wujud.

"Kemudian baru saya terfikir, adakah saya ditipu?" tambahnya.



Justeru, Nina berpesan kepada orang ramai agar sentiasa memeriksa kesahihan kedai atas talian sebelum berbelanja.

"Salah saya, saya tahu... Sepatutnya saya semak dahulu sebelum membeli dan mengisi maklumat kad saya.

"Betapa bodohnya saya," getus Nina lagi yang meminta orang ramai melaporkan akaun Instagram berkenaan.



Difahamkan kedai atas talian terbabit milik individu dari Filipina.