Bimbang karier seni akan tenggelam, pelakon Ruhainies kini memilih untuk tidak lagi berkongsi mengenai kisah peribadinya kepada umum.

Menurut Ruhainies, dia menerima banyak respon yang negatif berbanding positif apabila berkongsi mengenai peribadinya selain privasi juga sudah tiada.

“Sama macam sebelum ini saya pernah cakap kalau ada berita baik, saya akan kongsi. Jadi, bila dah jumpa someone itu, sudah tentu saya akan kongsi seperti mana yang dijanjikan.

“Bila saya kongsi, saya dapat lebih banyak negatif daripada positif. Privasi saya pun dah hilang dan saya tak gembira. Sebab itu saya tidak mahu berkongsi soal peribadi.

“Perkongsian sebelum ini buat karier saya tenggelam. Orang lebih fokus kepada peribadi saya berbanding karier. Sedangkan saya dalam industri nak tunjuk bakat dan minat pada lakonan.

“Tak nak la orang fokus kepada kisah peribadi saya berbanding karier. Penat selama ni saya berusaha untuk naikkan nama saya,” katanya kepada Gempak.

Ruhainies ditemui ketika majlis sidang media dan pra tonton drama siri iQIYI berjudul Sorry Naik Lori di DADI Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Ruhainies turut memberitahu dia enggan mengulas lebih lanjut soal jodoh dan mahu berserah segalanya kepada Allah.

“Saya masih single tapi tak tahu la nak kata apa, sebab apa-apa pun saya berserah saja soal jodoh ni. Kalau saya cakap tak available, tak tahu apa yang Allah dah aturkan,” ujarnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!