“Rujuk Kembali Dengan Radhi OAG? Sebenarnya, Saya…”- Bekas Isteri
Bekas isteri Radhi OAG, Nur Shahira Ayu Zahiri, 25, belum terfikir untuk kembali rujuk bersama bekas suaminya.
Menurut Ayu, apa yang penting, dia kini berasa lega kerana kes perceraiannya sudah selesai.
"Alhamdulillah, semuanya dah selesai… Saya tidak tahu lagi perancangan masa depan.
"Pasal rujuk itu sebenarnya saya masih tidak fikir apa-apa lagi.
"Saya minta maaf tidak dapat berkongsi sama ada masih wujud perasaan sayang terhadapnya," katanya kepada Gempak selepas diminta mengulas mengenai keputusan Radhi yang mahu merujuk kembali.
BACA: “Saya Akan Rujuk Ayu Kembali…”- Radhi OAG
Ayu ditemui selepas disahkan bercerai talak satu dengan Radhi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pagi tadi.
Bagaimanapun, ibu kepada dua orang anak itu menjelaskan hubungan mereka baik dan masih boleh kekal berkawan seperti biasa.
"Hari ini pun kami jumpa macam kawan. Rumah kami pun dekat saja untuk dia datang lawat anak.
"Saya akan tinggal dengan keluarga dan buat masa ini, saya akan bagi masa untuk diri sendiri.
"Kalau dia kata nak berubah, perkara itu bagus untuk semua orang, terutamanya kepada anak kami," katanya.
Ayu juga mengakui dirinya tidak menetapkan masa tertentu untuk Radhi datang melawat anak mereka.
"Kalau dia rasa nak jumpa, datanglah rumah," katanya.
Perceraian mereka disahkan oleh Hakim Syarie, Husaini Roslin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari hari ini selepas Radhi mengaku melafazkan cerai yang dibuat pada 25 Mac lalu.