Hiburan
Rumah Agam RM2.8 Juta Jadi Tarikan Filem Nyonya Ronggeng
Filem terbitan ZLK Productions, Nyonya Ronggeng menjadikan rumah agam bernilai RM2.8 juta sebagai tarikan utama dalam filem terbabit.
Rumah agam berkonsepkan Baba dan Nyonya itu dibina untuk menjadi salah satu lokasi penggambaran filem Nyonya Ronggeng yang bakal dimulakan tidak lama lagi.
"Kebanyakan syarikat produksi membina replika model bangunan sebagai tempat penggambaran sahaja, tetapi kami membina rumah itu sendiri dan melabur sebanyak RM2.8 juta.
"Terletak di Jalan Inai, Bukit Bintang, rumah agam terbabit bakal siap tidak lama lagi dan rekaan serta dekorasinya juga akan menampilkan elemen Baba dan Nyonya, sesuai dengan jalan cerita filem ini.
"Usaha ini adalah untuk membuka mata orang luar tentang keunikan filem tempatan yang mempunyai kepelbagaian budaya.
"Selepas selesai penggambaran nanti, rumah agam terbabit akan bertukar menjadi restoran yang bakal menyediakan hidangan Baba dan Nyonya serta ia juga bakal menjadi tarikan pelancong kerana lokasinya yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur," kata Datuk Seri Dr. K.C Lee selaku penerbit.
Menelan kos produksi sebanyak RM6 juta, filem ini bakal menjalani penggambaran bermula September ini dan ia membariskan YingLi Tan dan Steve Yap selaku bintang utama.
YingLi turut bertindak selaku penerbit dan filem ini akan menampilkan pengarah profilik, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin selaku sutradara.
Nyonya Ronggeng mengisahkan pengorbanan seorang wanita berketurunan Baba dan Nyonya bernama Rose.
Bekerja sebagai penari ronggeng, Rose ingin menumpang kasih sayang dari seorang jejaka, namun kehadirannya mendatangkan kebencian kepada ahli keluarga lelaki yang dicintainya kerana pekerjaan Rose.
Kisah Rose bermula apabila ibu bapanya dibunuh dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai Sook Ching di Singapura,
Ketika itu, Rose yang masih kecil dijaga dan dibesarkan oleh seorang pemilik pentas ronggeng.
Perjalanan hidup Rose dipaparkan secara berkala, dengan latar belakang beberapa kejadian dari tahun 1942 hingga penghujung 1970-an seperti pembunuhan beramai-ramai Sook Ching, kemerdekaan Tanah Melayu 31 Ogos 1957 dan Tragedi 13 Mei 1969.
Must-Watch Video