Rumah Dibadai Taufan, Mark Adam Memang Nak Balik Filipina Jenguk Keluarga, Tapi…

Izwan Isa
Disember 23, 2021 08:50 MYT
Baru-baru ini, menerusi perkongsian di Instagram, penyanyi dan pelakon Mark Adam berkongsi tentang keadaan rumah keluarganya di Cebu, Filipina yang mengalami sedikit kerosakan akibat dilanda ribut taufan.
Menerusi perkongsian tersebut, selain menyertakan sepotong video yang memperlihatkan keadaan terkini rumah keluarganya selepas dilanda ribut, Mark turut memberitahu bahawa ibu dan keluarganya berada dalam keadaan selamat.
Sungguhpun keluarganya dalam keadaan baik, namun, jauh di sudut hati, Mark ingin segera pulang ke Cebu untuk menziarahi ibu tercinta.
“Benar, Cebu dilanda taufan sehingga rumah kami sedikit terjejas. Ada beberapa kawasan juga dinaikki air. Tetapi alhamdulillah, ibu dan keluarga saya berada dalam keadaan selamat.
“Keadaan terkawal, cuma bekalan elektrik masih lagi terputus dan mereka terpaksa duduk di rumah. Saya masih usahakan apa yang patut memandangkan mereka perlu bergantung pada generator.
“Saya memang nak balik ke Cebu, sejak pandemik berakhir lagi. Tetapi penerbangan terus ke sana sudah tiada. Saya sendiri tidak tahu kenapa,” ujarnya kepada Gempak.
Justeru, menurut Mark, dia hanya melepaskan rindu menerusi panggilan video bersama ibunya.
“Jadi, buat masa ini, saya hanya berhubung dengan mereka menerusi panggilan video. Kakak saya juga memberikan perkembangan terkini mengenai keadaan di sana,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mark turut mendoakan kesejahteraan keluarganya di sana sementara dia belum berkesempatan untuk menjenguk mereka.
“Saya sentiasa doakan mereka dan juga keluarga-keluarga lain yang terlibat dengan taufan selamat. Di Malaysia juga khususnya, yang terkesan dengan banjir. Jika ada kemampuan, boleh bantu. Doa pun merupakan salah satu bentuk bantuan,” tutup Mark.
#Mark Adam #Filipina #Keluarga #Taufan