Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Rumah Saya Tak Pakai Wifi” – Ini Cara Aziz M Osman Kawal Anak Guna Gajet

Mya Amri
11/04/2018 07:22 MYT
Pengarah filem Aziz M Osman akui dia memberi kebebasan untuk anak bongsunya, Puteri Nur Azzahra, 6, menggunakan gajet tetapi dengan kawalan.

Kata Aziz, dia meletakkan had dan syarat tertentu supaya anaknya faham dan tahu menghormati masa yang diberikan.

“Rumah tak pakai wifi dan saya hanya menggunakan 'hotspot'sahaja.

“Saya memang meletakkan had untuk dia menonton televisyen dan juga menggunakan gajet, jadi dia akan tahu setiap aktiviti yang dilakukan itu ada mula dan akhirnya.

“Kalau dia nak mula, dia perlu menghormati dan menghargai masa atau tempoh yang diberikan.

“Sebagai contoh, saya akan beritahu dia ada masa selama satu jam setengah untuk menonton dan bila had masa itu tamat, jangan terus rampas gajet yang digunakan.



“Sebaliknya beritahu dia masa untuk aktiviti tersebut telah sampai ke penghujungnya. Jangan amalkan sikap rampas barang dengan anak-anak.

“Memang saya tak nafikan, Ara juga mempunyai telefon bimbit namun telefon tersebut saya hanya menggunakan ‘prepaid’.

“Maksudnya dia sendiri akan tahu had-had dia untuk menggunakan internet dengan cara yang jimat,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan lain, Aziz dan Ara akan muncul dalam program terbaru Astro berjudul Oh My Family! bermula malam ini.

Selain Aziz, selebriti lain yang turut terlibat adalah Datuk Fazley, Rita Rudaini, Aaron Aziz dan Azad Jasmin bersama anak-anak mereka.

Program ini menyaksikan gelagat anak-anak selebriti melakukan beberapa misi yang diberikan tanpa pertolongan ibu dan bapa mereka.

Oh My Family! bersiaran setiap Rabu, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123) dan Astro Ceria (saluran 611)

Teks oleh: Mya Amri
#Aziz M Osman #Azzahra #Oh My Family
;