Laman Utama
Rumah Staff Musnah, Tya Arifin & Asyraf Khalid Randuk Banjir Hulur Bantuan - "Bergenang Air Mata, Kami Hidup Seperti Keluarga"
Seakan tidak pernah mengenal erti lelah, pelakon dan usahawan, Tya Arifin tidak terkecuali turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Menurut Tya, dia dan suami tercinta, Asyraf Khalid nekad meredah banjir di beberapa kawasan sekitar lembah Klang selepas mendapati empat kakitangannya yang berkhidmat di bawah Empayar Mutyara antara mangsa yang terjejas dek bencana tersebut.
"Niat Tya dan Asyraf untuk menghulurkan sumbangan kepada para pekerja Mutyara serta keluarga mereka yang terkesan. Selain bantuan makanan dan keperluan asas, sumbangan wang ringgit juga turut kami salurkan kepada mereka.
"Ini merupakan tanggungjawab kami untuk meringankan beban golongan yang memerlukan. Hubungan saya dan pekerja-pekerja di Wisma Mutyara ibarat isi dengan kuku. Kami hidup seperti keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang masing-masing," katanya.
Biarpun bergenang air mata melihat keadaan kediaman mangsa, namun menantu penyanyi nombor satu negara ini khabarnya tidak terlepas menzahirkan pertolongan buat mereka menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Cahaya Mutyara yang digerakkannya beberapa bulan yang lalu.
Memahami kesulitan mangsa yang terkesan di beberapa buah negeri rentetan bencana itu, pengasas minuman kesihatan, Jus Mutyara ini juga bersetuju menawar diri untuk sentiasa ke hadapan bersama pihak berkuasa andai musibah atau bencana seperti ini berlaku lagi.
Terdahulu, Tya memuat naik hantaran video “reels” di laman Instagram miliknya sambil memperlihatkan keadaan sebenar kediaman kakitangannya yang musnah akibat musibah banjir.
Malah, meninjau ke ruangan komen, majoriti pengikut adik ipar pelakon Izara Aishah ini menitip respon positif terhadap tindakan pantasnya mengelolakan pemberian bantuan terhadap insan yang memerlukan.