Berita
Rumah Tangga Serina Goyah, Chef Wan 'Buka Mulut'
Chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra dipanggil Chef Wan, akhirnya membuka mulut tentang status rumah tangga anak perempuan kesayangannya, Serina.
Baru-baru ini, terdapat khabar angin tentang keretakan rumah tangga Serina dan suaminya, Gavin Edward O’luanaigh.
Setelah pelbagai spekulasi dilemparkan kepada pasangan yang telah mendirikan rumah tangga selama enam tahun itu, akhirnya Chef Wan, 59, tampil memberikan penjelasan.
Menerusi Instagram (IG) miliknya. Chef Wan telah memuat naik beberapa status mengenai masalah rumah tangga anaknya itu.
Menerusi kemas kini terbarunya, Chef Wan telah meluahkan rasa kecewa terhadap menantunya, Gavin yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada Serina dan anak-anak mereka.
“Setelah banyak kali menasihatinya mengenai tanggungjawab untuk menyara perbelanjaan isteri setiap bulan, dia menolak untuk mendengar nasihat saya.
“Saya gembira apabila Serina memfailkan penceraian. Pihak kami akan teruskan dengan prosedur sewajarnya untuk mendapatkan haknya dan menegakkan keadilan,” luah Chef Wan di laman sosialnya.
Menurut perkongsian tersebut, jelas menunjukkan Chef Wan amat bersimpati dengan nasib yang menimpa anaknya itu.
“Dalam perkahwinan, adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memanjakan isteri, tetapi sayang sekali anak saya bekerja keras ke sana ke mari, mencari rezeki.
”Sebagai bapa, tentunya saya berasa sangat sedih,” tambah Chef Wan lagi.
Serina yang telah dihubungi pihak media berkata, dia hanya berserah segalanya kepada ketentuan takdir.
“Saya serahkan segalanya kepada Allah. Jika ditakdirkan berpisah, saya reda kerana percaya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya,” katanya kepada Harian Metro.
Serina bernikah pada tahun 2010 dan kini dikurniakan dua cahaya mata comel, iaitu Isabella Saffiya dan Tristan Tareef.
Teks oleh : Izzat Ridzwan