Pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew sebak melihat keadaan rumah makcik Rafiah ketika hadir menziarahi wanita itu di Kampung Ajai, Ulu Dong Pahang.

Menerusi laman sosial Facebook, Ebit berkongsi sekeping foto semasa pertemuan itu untuk tatapan umum.

Menurut Ebit, dia mengetahui tentang keadaan rumah makcik Rafiah yang hanyut dibawa arus ketika banjir baru-baru ini daripada pelbagai media.



“Sayu hati tadi tengok rumah makcik Rafiah. Rumah dibawa arus banjir dan rumah tersangkut di pokok besar.Ujian makcik yer.

“Berat rasanya. Masa sampai makcik ini sedang mencari barang boleh pakai bersama anak-anak. Makcik teringin nak bina rumah di kawasan lain di kebunnya,” tulis Ebit lagi.

Melihat keperitan makcik Rafiah dan anak-anaknya, Ebit memberikan sedikit sumbangan berbentuk wang dan akan membeli barangan kayu untuk membina semula rumah makcik Rafiah selepas musim banjir berlalu.

“Makcik Rafeah kata, jika tiada musibah ini tak dapat jumpa ustaz. Rezeki dapat jumpa ustaz. Sempat berbual semuanya ini ujian kasih sayang Allah pada kita semua. Berat ujian makcik,” jelas Ebit lagi.

Meninjau ke ruangan komen, ramai wargamaya yang memuji tindakan pantas Ebit dalam menghulurkan bantuan bagi mereka yang memerlukan.

Inilah seorang yang sangat patut dicontohi oleh semua ahli politk yang sibuk dengan kuasa. Seorang ustaz yang tak punya kuasa tapi sangat cepat dalam memberi bantuan bila diperlukan. semoga ustaz sentiasa dalam lindungan Allah,” ujar seorang wargamaya.

Alhamdulillah terima kasih ustaz kerana sentiasa hadir disaat memerlukan. Semoga ustaz diberi kesihatan yang baik..amiin,” puji seorang wargamaya.

Ustaz ni pantang orang tag dia, terus laju dia pi jumpa org yang kurang bernasib baik tu. Sebab tu rezeki ustaz laju masuk. Semoga Allah kurniakan kesihatan berpanjangan untuk ustaz,” komen seorang wargamaya lagi.

Semalam media melaporkan nasib Rafiah Jamaludin, 69, selepas rumahnya hanya tinggal tapak ekoran banjir besar.

Dia terkejut selepas mendapati rumahnya dibawa arus banjir dan tersekat di pokok-pokok tidak jauh dari tapak asal rumah.