Penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa akui pernah menyimpan perasaan terhadap seseorang selama sepuluh tahun.

Namun menurut Rossa, dia dan lelaki tersebut sedar mereka tidak dapat membawa hubungan mereka ke peringkat yang lebih istimewa.

"Ya saya pernah rasa terlalu berharap pada seseorang, kisah-kisah dalam lagu saya pun pernah dialami oleh ramai orang.

"Saya pernah menyimpan perasaan dan berharap pada seseorang selama 10 tahun, tapi setelah sekian lama kami berdua sedar hubungan kami tak boleh pergi jauh dan akur sahaja.

"Tapi kisah itu sudah lama dahulu, bukanlah waktu yang terkini, saya okay sahaja sebab tiada jodoh antara kami," katanya.

Rossa berkata demikian ketika sidang media virtual melancarkan single terbarunya berjudul Terlalu Berharap pada Isnin.

Tambah Rossa, dia tidak mengutamakan soal mencari pasangan hidup buat masa ini.

"Saya tidak mengutamakan soal jodoh buat masa ini, saya belum fikir untuk berkahwin lagi.

"Tapi kalau ada jodoh, itu sememangnya ditentukan oleh Allah SWT," katanya lagi.

Single Terlalu Berharap dicipta oleh Andmesh dan merupakan runut bunyi untuk filem Love Knots yang dibintangi Rizky Nazzar, Beby Tsabina, Aidil Saputra dan ramai lagi.

Video lirik lagu tersebut menampilkan para pelakon filem itu sendiri, manakala video muzik rasminya akan menyusul kemudian.

BACA: "Siapa Ya? Maaf Saya Tak Perasan..." - Ini Respon Rossa Bila Ditanya Tentang Iqbal