Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Rupanya Guna Kasut Roda Boleh Rakam Syot Filem Cantik

Elrafaei Sapi
21/11/2018 09:52 MYT
Pembikinan filem pada zaman kini tidak hanya bergantung pada kos produksi yang besar tapi ia boleh dilakukan menerusi kreativiti pengarah itu sendiri.

Satu video mengenai teknik penggambaran dikongsi pengarah tempatan, Arjin Uppal di media sosial menunjukkan bagaimana satu adegan membabitkan seorang penumpang wanita menaiki teksi dirakam dengan cara cukup kreatif.

Bayangkan, jurukamera penggambaran terbabit dalam cerita tersebut bertindak merakam syot dari arah belakang teksi yang bergerak laju sebelum berhenti mengambil seorang penumpang wanita.

Ia mungkin suatu yang mustahil untuk mendapatkan syot yang cantik jika hanya merakam syot dari satu sudut tertentu sahaja.

Menariknya, jurukamera itu hanya menggunakan kasut roda sebelum mengekori teksi tersebut dan merakam syot penumpang wanita berkenaan.

Arjin menyatakan filem bajet rendah tidak semestinya mmempunyai kreativiti yang rendah sebaliknya, mencari alternatif lain daripada menggunakan peralatan penggambaran yang besar dan membawa kos yang mahal.

"Ia bergantung pada projek. Filem saya sebelum ini yang merupakan filem bajet rendah menggunakan 'red camera' dan kamera DSLR.

"Apa yang lebih penting adalah hasilnya, apa yang penonton tengok, tiada siapa yang beli tiket atas faktor bagaimana penggambaran filem dijalankan. Apa yang penonton mahukan adalah cerita," katanya yang dikongsi bersama ahli Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), hari ini.



Jelasnya, penggambaran juga boleh dijalankan dengan menggunakan 2 hingga 3 kru produksi dengan penggunakan peralatan penggambaan yang minimum.

"Perkara lain yang penting untuk pengarah tahu adalah ego simpan kat rumah bila pergi ke set penggambaran. Tidak perlu 'treatment' yang khusus kerana pengarah adalah bos.

"Beri keutamaan pada cerita yang dirakam, pengarah perlu mempunyai pemikiran melakukan projek bajet rendah. Ada ramai yang selalu fikir kerana ia projek bajet rendah dan mendapat bayaran kurang jadi kerja pun 'bodoh' saja," katanya.

Arjin memberi nasihat pada pengarah agar jangan bekerja kerana bayaran tapi kerja untuk mendapatkan kepuasan.

"Suatu hari pengarah akan sedar hasil kerja bukan bergantung pada jumlah bayaran tinggi yang diterima," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi
#FDAM #Arjin Uppal
;