Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Rupanya Lelaki Bakar Diri Sendiri Kerana Kecewa Dengan Ex-Girlfriend Ada Kekasih Baru

Syafiqah Jalal
17/02/2022 07:29 MYT
Semalam tular video yang menunjukkan seorang lelaki terbakar hampir seluruh badan keluar dari kereta berjalan dengan api marak di atas Jambatan Jalan Kampung Syed Omar Bintong, Kangar, Perak.

Lelaki itu rupanya didakwa sengaja membakar dirinya sendiri selepas kecewa dengan tindakan bekas teman wanita yang mempunyai kekasih baru.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, keluarganya telah tampil memberikan keterangan dan menjelaskan mangsa merupakan seorang pesakit psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Menurutnya, lelaki berusia 28 tahun itu pernah beberapa kali cuba membunuh diri dan kejadian pertama pada Januari lalu di mana mangsa pernah mengelar kedua-dua belah tangan namun berjaya diselamatkan oleh keluarga mangsa.

Pasukan doktor yang merawat mangsa di kawasan merah Jabatan Kecemasan dan Trauma HTF mendapati mangsa mengalami lecur pada badan sebanyak 96 peratus.

Mangsa masih berada di kawasan merah dan dilaporkan dalam keadaan kritikal. Dia sedang menerima bantuan pernafasan, katanya dalam satu kenyataan pada pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, orang awam yang berada di lokasi kejadian telah menenangkan dan menyelamatkan mangsa dengan menghubungi ambulans sebelum lelaki itu dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTF untuk mendapatkan rawatan.

Mengulas lanjut, Wari juga berkata, bapa mangsa memberitahu mangsa juga cuba memakan racun tikus semasa berada di dalam tandas rumahnya pada Selasa lalu dan semua tindakan ini disebabkan rasa kecewa terhadap bekas kekasihnya.

Menurutnya, sebelum kejadian tersebut, bapa mangsa memaklumkan lebih kurang 8.45 malam ketika berada di rumah, mangsa memberitahu telah terminum petrol.

Kemudian mangsa telah keluar daripada rumah membawa satu botol berisi petrol yang diambil daripada motosikalnya dan menaiki kereta jenis Perodua Axia.

Mangsa memaklumkan ingin pergi ke kaki bukit untuk memesin rumput rumah datuknya.

Bapa pengadu berasa curiga dan terus ke balai polis untuk membuat laporan kerana percaya mangsa cuba membunuh diri.

Apabila sampai di Balai Polis Kangar, polis memaklumkan telah menjumpai sebuah kereta dalam keadaan terbakar dan kenderaan itu disahkan bapa mangsa semasa tiba di tempat kejadian, ujarnya.

Tambah Wari, bahagian forensik bomba dan penyelamat akan ke lokasi kejadian pada Khamis bagi mengesan punca kebakaran.

Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, katanya.

Sumber: Sinar Harian

A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

#Bunuh Diri #Kekasih #Bakar #Kecewa #Mental