"Rupanya 'Patient' Tu Encik Suami"- Isteri Cerita Saat Romantis Ustaz Don Buat Kejutan Hari Lahir

Rozaimi Zubaidi
Januari 23, 2018 04:31 MYT
Siapa sangka Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid mempunyai sisi romantis apabila bersama dengan isterinya.
Isteri Ustaz Don, Husna Mohd Zahry terkejut apabila suaminya datang ke hospital tempatnya bekerja untuk membuat kejutan sempena hari jadinya.
Husna yang merupakan seorang doktor di hospital kerajaan itu menceritakan saat bagaimana dia dikejutkan dengan kehadiran suami bersama kek, sejambak bunga, coklat dan belon.
"Jururawat di kaunter telefon dan memberitahu ada seorang pesakit mahu berjumpa dan bercakap dengan saya di meja hadapan.
"Ingatkan apa la yang tak puas hati sangat sampai tak mahu masuk bilik berjumpa dengan saya secara peribadi.
"Dalam hati dan 'mengomel' sendiri kerana hari ini saya tidak berapa sihat.
"Saya pun keluar dari bilik dan terus ke kaunter, tiba-tiba ada seseorang pegang tangan saya dan bawa saya ke troli yang penuh dengan hadiah.
"Rupa-rupanya 'patient' itu encik suami yang datang bawa hadiah hari jadi.
"Jururawat di kaunter sudah mula ketawakan saya.
"Terima kasih semua yang menjayakan kejutan hari ini dan juga ucapan serta doa yang diberikan," tulisnya di akaun Instagram (IG) peribadinya.
Menerusi entri tersebut, Husna memuat naik fotonya bersama Ustaz Don dan hadiah yang dibawa.
Rata-rata pengikut IGnya memuji sikap romantis Ustaz Don kepada isterinya.
Husna turut dihujani ucapan tahniah dan selamat hari lahir.
Foto: Instagram Husna Zahry
Teks oleh: Syafiqah Jalal
#Ustaz Don #Isteri Ustaz Don #Supprise Birthday