Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Rupanya Ramai Yang Tak Tahu, Haram Ambil Bunga Tepi Jalan Tanam Di Rumah Sendiri

Mya Amri
04/01/2024 11:55 MYT
Nampak remeh tetapi sebenarnya kalau nak tahu terdapat hukum apabila mengambil pokok bunga yang hidup di tepi jalan raya atau taman dengan tujuan untuk ditanam di rumah sendiri.

Ada yang bertujuan mengerat sedikit ranting untuk mendapat benih atau baka bagi tumbuhan tersebut dan ada sesetengah yang lain digunakan sebagai perubatan Tradisional.

Walaupun cara mengerat atau mengambil anak pohon tersebut dengan baik dan tidak merosakkan tumbuhan tersebut, namun ini adalah hukumnya.

JAWAPAN:

Hukum asal adalah haram mengambil atau mengerat walaupun sedikit ranting atau tunas pada pokok di tepi jalan atau taman kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izinnya.

Perkara ini termasuk dalam kategori mengambil atau memakan harta orang lain secara batil (salah) yang telah diharamkan oleh Allah SWT seperti dalam firmannya:

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah.”

(Surah al-Baqarah: 188)

Namun syarak mengiktiraf adat dan budaya baik setempat. Jika adat dan budaya sesuatu tempat masyarakat yang hidup berjiran saling membenar dan menghalalkan sesama mereka, maka ia adalah dibenarkan mengambil dan memakannya dengan tidak berlebih-lebihan sekadar untuk keperluan dirinya sahaja.

Akan tetapi berasaskan kepada sifat wara’, adalah baik tidak mengambil dan memakannya kecuali telah diketahui secara pasti bahawa jiran atau tuan tanah tersebut sememangnya seorang yang baik hati atau terus sahaja meminta izin daripadanya atau orang yang menguruskannya.

Hal ini juga termasuk tanah milik kerajaan atau kawasan rizab yang telah ditentukan, maka sebaiknya hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu.

Demikianlah adab-adab yang dititik beratkan dalam Islam. Moga kita dapat mempraktikkannya, insya Allah.

Wallahu’aklam.

Sumber: Mufti Pulau Pinang

#Salam Muslim #Bunga #Hukum
;