HIBURAN

Rusa Rempuh Kereta, Bekas Peserta Miss Universe Maut Lepas Sebulan Bertarung Nyawa

Maliah Surip 17/08/2025 | 07:55 MYT
Bekas peserta Miss Universe 2017 dan model, Kseniya Alexandrova meninggal dunia selepas beberapa minggu bertarung nyawa di hospital setelah terlibat dengan kemalangan kereta yang agak aneh.

Alexandrova mengalami kecederaan parah termasuk pada bahagian otak selepas seekor rusa merempuh kenderaan yang sedang dipandu suaminya, di Tver Oblast, Rusia pada 5 Julai lalu.

Wanita yang mewakili Rusia dalam pertandingan ratu cantik itu diumumkan meninggal dunia pada usia 30 tahun, 12 Ogos lalu di sebuah hospital, lapor People.

Dia duduk di kerusi penumpang sewaktu insiden yang menyaksikan rusa tersebut tiba-tiba melompat ke bahagian cermin depan kereta yang dipandu suaminya.

“Ia berlaku dengan sekelip mata. Saya tidak sempat berbuat apa. Darah ada di merata tempat dan kesan insiden, isteri saya pengsan di tempat kejadian,” ujar suaminya.

Lebih menyayat hati, Alexandrova meninggal dunia hanya selepas empat bulan berkahwin.

Untuk rekod, Alexandrova juga merupakan juara Miss Rusia pada tahun sama dia mewakili negaranya di Miss Universe 2017.
#Maut #Bekas Peserta Miss Universe #Kseniya Alexandrova