HIBURAN
#GempakWeeklyEdition: Saat Sang Genius Tuntas Cetak Sejarah Di Konsert Datuk M N46IR Cipta Raya
Bukan Datuk Mohamad Nasir bin Mohamed Sam atau nama komersialnya, M. Nasir jika tidak melakukan kerja seni yang sentiasa di luar kotak dan ‘berani mati’.
Barangkali seperti prinsip bahawa seni itu subjektif maka dalam lingkaran ilmu dan kepakaran, M. Nasir menjadi pencetus kepada konsert dengan hanya bermodalkan lagu-lagu raya ; dan hasilnya sukses, berjaya, tuntas luar biasa..jpg)
BERITA TRENDING: M Nasir Mahu Budayakan Konsert Raya
.jpg)
Bayangkan duduk di dalam sebuah ‘lapangan hiburan’, berbusana tradisional pelbagai fesyen dan berhibur dengan tembang raya seperti Selamat Hari Lebaran, Lebaran Bonda, Raya Yang Sempurna, Suara Takbir, Salam Dunia, Halaman Asmara sehingga Satu Hari Di Hari Raya tetapi menikmatinya dalam suasana seperti menghadiri sebuah konsert yang diisi lagu-lagu komersial harian.
Lebih daripada itu, bukan sifu atau meastro muzik namanya jika lagu-lagu raya tersebut yang kebanyakannya hasil beliau sendiri diberi semula sentuhan atau susunan muzik yang segar dan kekinian tanpa menghilangkan estetika sebuah lagu raya yang sarat pengisian lirik dan melodi bersifat ‘kemenangan’ sama ada dalam bahasa yang syahdu atau keraian.
Bersulam lagu raya yang dipersembahkan dalam Konsert Datuk M N46IR Cipta Raya kelolaan Icon Entertainment yang berlangsung dengan konsep rumah terbuka di Zepp Kuala Lumpur pada minggu lalu, M. Nasir mendendangkan tembang hitnya yang tidak pernah jemu didengar dan dinyanyikan.
Maka dengan bersahaja dan ‘pekat cetakan’ seorang genius, M. Nasir mengalunkan Sahabat Gua, Raikan Cinta, Apokalips dan Pheonix Bangkit Dari Abu lalu disambut gegak gempita peminat yang sebelumnya sudah terlarut dengan indah dan enaknya gubahan lagu raya yang digarap khas buat konsert tersebut.
Seperti harapan M. Nasir untuk membudayakan konsert raya dilaksanakan secara tahunan, begitu juga peminat memasang angan akan kembali melihat beliau dan penganjur menganjurkan konsert dengan tema-tema khusus lalu diraikan — atau sekurangnya membawa pulang lebih daripada sekadar kenangan seperti penulis mendapat RM10 duit raya daripada Konsert Datuk M N46IR Cipta Raya ini.
Baca selanjutnya di Gempak Weekly Edition!
Must-Watch Video