“Saat Siram Pusara Mama Tewas, Terbayang Mandikan Waktu Kecil” - Sebaknya Coretan Azian Mazwan Sapuwan

Mya Amri
Disember 19, 2019 10:41 MYT
Penyanyi era-80an, Azian Mazwan Sapuwan akui tidak dapat menahan rindu terhadap arwah anak lelakinya, Mohamad Aqil Zulkarnain meninggal dunia pada 16 Disember lalu.
Sebagai seorang ibu, Azian tidak menafikan perasaan pilu sewaktu menyiram pusara arwah anak kesayangannya.
Azian meluahkan isi hatinya menerusi posting terbaru di akaun Instagram (IG) miliknya hari ini.
“Kematian itu pasti… Tapi itu semua Rahsia Allah SWT… Semasa menjaga, melawat, bercakap dengan dia di katil wad, sebagai seorang ibu saya nampak perkataan 'pergi dan redha' tetapi cepat-cepat saya padam.
“Saya yakin dia akan sembuh. Tapi dihari-hari terakhir hati saya menjerit 'jangan tinggalkan mama Aqil’… Mulai saat itu hati mula berkata (walaupun samar-samar) seakan payah, kata kalau yang terbaik untuk dia ialah 'pergi' aku kena Redha, kena bersedia.
“Saya mula membaca ayat-ayat suci berkenaan memudahkan beliau... Allahuakhbar (menggigil bila ingat semula saat itu). Tenanglah Aqil di sana… Rehat ye sayang. Doa mama tidak pernah putus buat mu...
“Cuma saat menyiram pusaramu mama tewas, terbayang memandikan dia waktu kecil dan rupanya itu kubur anak aku.
“Ada batu nesan nama anak aku… Lima anak lelaki, mama kehilangan seorang. Alhamdulillah jenazah mu diangkat oleh adik-adik dan abang-abang mu di samping saudara yang lain.
“Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sama-sama menguruskan dan permudahkan urusan pengkebumian arwah anak saya. Ada yang datang dan tersedia tanpa pengetahuan saya. Terima kasih.
“Alhamdulillah, rezeki Aqil. Semoga Allah SWT melipat gandakan rezeki kalian semua. Tak lupa kepada yang mendoakan, mengirim mesej dan yang datang melawat dari jauh dan dekat.
“Terutamanya doktor-doktor, nurses dan staff nurse di ICU Hospital Serdang katil 13 dan ICU Hospital Selayang katil 9.
“Terima kasih dari kami sekeluarga kerana menjaga arwah anak saya dengan baik... Al-Fatihah buat Mohd.Aqil Zulkarnain (09/10/1999-16/12/2019),” coretnya.
Terdahulu, Allahyarham Mohamad Aqil sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana terlibat dalam kemalangan pada 22 November lalu.
Dalam kemalangan tersebut Mohamad Aqil mengalami kecederaan parah di bahagian abdomen dan beberapa organ dalam badan.
Disebabkan keadaan tersebut, Mohamad Aqil dibius dan diletakkan dalam keadaan koma untuk rawatan.
#Azian Mazwan Sapuan