Selepas melancarkan single terbaharunya, Sabar, penyanyi Black Hanifah bersyukur video muzik (MV) lagu tersebut akhirnya bertemu para peminatnya.

Black berkata, mesej yang ingin disampaikan menerusi MV berkenaan ialah mengenai tidak mudah mencari kebahagiaan.

Tambahan lagi melayari bahtera alam rumahtangga menuntut pengorbanan sekali gus menguji sejauh mana tahap sabar dan setia.

”Jika rintangan awal berjaya diharungi, bermakna perjalanan seterusnya lebih mudah untuk ditempuhi. Apa yang penting, sabar perlu ada dalam diri untuk mengharungi segala macam cabaran.

”Itu mesej yang ingin disampaikan dalam MV Sabar,” katanya kepada Gempak.

Menurut Black, MV yang menjalani penggambaran selama dua hari itu memaparkan kehidupan sebenar segelintir masyarakat terutama lelaki berstatus duda dan mempunyai anak yang ingin berkahwin semula.

“MV ini mengisahkan lelaki duda yang ada anak. Dia kemudiannya nak bercinta dengan seorang wanita. Malangnya, wanita itu hanya mahu menerima dirinya tapi tidak anaknya.

“Di depan lelaki itu, wanita itu berpura-pura menyukai anaknya, tapi di belakang bersikap sebaliknya. Sehingga akhirnya, lelaki itu dikecewakan tapi diubati dengan sokongan kasih sayang daripada anaknya.

“Kisah sebegini memang berlaku dalam masyarakat kita. Jadi, saya ingin paparkan yang mana tidak salah seorang duda untuk bercinta dan berkahwin lagi. Tapi, tidak semua melalui pengalaman indah,” katanya.

Dalam pada itu Black turut berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran MV Sabar.

“Sejujurnya, tidak ada masalah untuk buat MV ini. Pelakon wanita dan kanak-kanak membawa watak masing-masing dengan baik.

"Walaupun saya tak pernah buat babak sebegini dalam MV sebelum ini, tapi ia tidak terlalu mudah dan susah.

”Cuma, untuk pelakon kanak-kanak mendapatkan ‘mood’ sedih itu yang mengambil sedikit masa.

“Bagi saya, keunikan MV ini adalah dari segi nyanyian lagu ini. Apa saya rasa, dilontarkan sepenuhnya dalam lagu ini.

"Jadi, dalam MV ini pun ia meluahkan isi hati yang dirasai. Bagi mereka yang jenis ‘family man’, pasti lebih merasai MV ini,” katanya.

Sementara itu, pengarah MV, Azuad Abdullah, 29, berkata, pihaknya memberikan dua idea dari segi jalan cerita dan Black memilih idea kedua iaitu seperti apa yang dipaparkan dalam MV Sabar.

“Kami mengemukakan dua jalan cerita. Selepas perbincangan bersama Black, dia suka idea nombor dua. Jadi, kami menerangkan kepadanya jalan cerita penuh MV ini.

“Alhamdulillah, penggambaran yang dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan lancar. Satu hari membabitkan lakonan dan sehari lagi untuk rakaman nyanyian lagu saja,” katanya.

Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer, pada 24 Julai lalu.

Video muzik rasmi Sabar boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.