Bekas kapten pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Safiq Rahim kembali menyarung jersi pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang dijangka bermula pada 5 Mac depan.

Menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, sebuah video berdurasi 28 saat dimuat naik menyiarkan kepulangan pemain berusia 34 tahun itu dan kemunculannya disambut rakan sepasukan Matthew Davies dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Dalam pada itu, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memberi komen ringkas dalam laman Instagram pasukan bola sepak itu sekali gus mengesahkan kepulangan Safiq dalam skuad Harimau Selatan.

Sepanjang bersama skuad Harimau Selatan sebelum ini, Safiq yang merupakan bekas perancang tengah JDT, membantu pasukan itu menjulang beberapa kejuaraan termasuk Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala AFC.

Terdahulu, Safiq pernah menyertai JDT dari 2013 hingga 2018 sebelum berpindah ke Melaka United.


Sumber: Bernama