"Sah...Memang Dia!" - Aznil Mahu Bertemu Pengetua Ketika Di Zaman Sekolah Menengah

Asraf Aided
Februari 25, 2020 06:06 MYT
Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi berkongsi sebuah video tular yang menunjukkan seorang guru bercakap dalam sebuah majlis akademik.
Menurut Aznil atau mesra disapa Pak Nil, cara individu itu bercakap mengingatkannya kepada pengetua ketika dia berada di tingkatan lima dan enam dahulu.
Perkara itu dikongsi Pak Nil menerusi sebuah video di entri akaun Instagram miliknya buat tatapan ramai.
"Saya tonton sebuah video viral yang menunjukkan seorang guru berketurunan India, kelihatan begitu beria menunjukkan rasa tanggungjawabnya dalam mengajar anak-anak di sekolah.
"Cara dia bercakap itu mengingatkan saya pada seseorang, adakah dia ini pengetua sekolah lelaki di Jalan Temerloh ketika saya berada di tingkatan lima, kemudian saya berpindah ke sekolah menengah di Setapak untuk tingkatan enam, dia juga turut dipindahkan ke sana.
"Adakah dia? Susuk tubuh yang memberi semangat kepada kami ketika di tingkatan enam sehingga berjaya?" tanya Pak Nil dalam video tersebut.
Sementara di ruangan kapsyen, Pak Nil memohon bantuan sesiapa yang boleh membantu menemukannya dengan individu tersebut.
"Dia kah? betul ke? Jika ada sesiapa yang boleh bantu ketemukan saya dengan insan ini..." tulisnya.
Tidak lama selepas itu, Pak Nil telah menemui jawapan yang ternyata individu tersebut adalah pengetua yang dicarinya.
Menerusi entri terbaru, Pak Nil mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantunya untuk mengesahkan individu dalam video tersebut.
"Sah! Memang dialah pengetua saya, kuasa media sosial! Terima kasih kepada yang membantu, siap ada yang bagi nombor telefon.
"Sekarang saya nak jejak kasih, dia ingat saya lagi ke?" tulis Pak Nil.
#Pak Nil #Aznil