Media Sepanyol, Marca melaporkan Coca-Cola mengalami kerugian saham berbilion dolar selepas tular tindakan Cristiano Ronaldo mengalihkan dua botol minuman soda itu ketika sidang media Euro 2020 semalam.

Saham syarikat minuman terbabit yang bernilai $242 bilion didakwa mengalami penurunan sebanyak 1.6% kepada $238 bilion.

Bagaimanapun, sebahagian besar warganet tidak menyalahkan Ronaldo dan menegaskan bintang bola sepak berkenaan tiada kaitan dengan penurunan saham Coca-Cola.

Menurut mereka, saham Coca-Cola sudah mengalami penurunan sejak beberapa hari yang lalu.


Sementara itu reaksi balas Coca-Cola selepas Ronaldo mengetepikan dua botol minuman mereka pada sidang media Euro 2020, menegaskan 'setiap orang berhak untuk memilih’.

Syarikat minuman itu yang menjadi penaja rasmi Euro 2020 memaklumkan secara terang-terangan bahawa setiap orang mempunyai 'selera dan keperluan' masing-masing.

"Pemain ditawarkan air disamping Coca-Cola dan Coca-Cola tanpa gula apabila tiba di sidang media," kata jurucakap.

Bintang Portugal itu antara pemain bola sepak terbaik dunia cukup terkenal dengan diet dan gaya kehidupan sihatnya.

Menerusi video yang tular di media sosial semalam, Ronaldo yang menghadiri sidang media pra-perlawanan diantara Hungary menentang Portugal dalan saingan Euro 2020, dilihat mengalihkan dua botol air Coca-Cola dihadapannya dan menggantikan dengan sebotol air mineral.

Dia juga ‘melaungkan’ kepada orang ramai agar meminum ‘air kosong’ sahaja.

Tumpuan kepada tahap kecergasan dan kehidupannya itu membolehkannya terus bermain di peringkat elit biarpun sudah berusia 30-an ketika ramai pemain mengundurkan diri.

Dia sebelum itu mendedahkan enam makanan yang diambil untuk diet harian adalah buah yang banyak, sayuran dan protein seperti ikan atau ayam yang dimasak tanpa minyak.