Laman Utama
Sahut Cabaran Jadi Penyampai Radio ERA, Shiha Zikir; "Memang Nervous Tapi..."
Selebriti versatil, Shiha Zikir mengejutkan para peminat apabila menyahut cabaran menjadi penyampai radio selaku geng Petang ERA bersama Radin dan Danial bermula semalam.
Akui gementar pada hari pertama, Shiha mengambil langkah untuk bertenang dan meningkatkan keyakinan diri.
"Saya memang nervous sangat sejak sehari sebelumnya, sampai tak boleh nak tidur. Biasanya kalau nak cuba perkara baru, saya memang menggelabah, tapi saya cuba atasi rasa takut itu.
"Saya tingkatkan konfiden dengan jadi diri sendiri, barulah rasa okay sedikit.
"Hari pertama semalam agak kekok, tapi Alhamdulillah Danial dan Radin banyak membantu dan mengajar saya," katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut tentang penglibatan bersama ERA, Shiha mengatakan ia bermula daripada perbualannya bersama Radin dan Danial dalam satu sesi Instagram Live.
Selain itu, penyanyi lagu Irama ini juga menjelaskan bahawa dia belum bergelar penyampai ERA yang tetap setakat ini.
"Pada mulanya, saya ada sertai IG Live mereka, saja suka-suka, memandangkan Radin dan Danial antara kawan yang baik dengan saya, saya pun bergurau tanya "penyampai radio ni buat teka teki ya?".
"Mereka pun beri cabaran, katanya kalau saya rasa kerja penyampai radio itu senang, mereka ajak saya cuba, saya pun terima sahaja, tak sangka juga dari situ pihak ERA cabar saya untuk sertai segmen Petang ERA.
"Buat masa ini, saya belum lagi bergelar penyampai radio ERA yang tetap, ini hanya untuk saya sahut cabaran sahaja memandangkan jadual kerja saya yang lain masih banyak tertangguh ekoran pandemik.
"Jadi, untuk tempoh masa berapa lama lagi saya dengan pihak ERA, saya belum pasti," jelasnya.
Bercakap tentang pelbagai cabang seni yang telah diceburi, Shiha menegaskan dia melakukan perkara yang betul-betul diminati.
"Dalam bidang seni, saya suka cuba semua yang saya suka, kalau saya menari misalnya, memang saya suka menari, melawak pula memang diri saya macam itu, saya berlakon sebab suka menerokai bidang lakonan, apatah lagi menyanyi yang merupakan bidang paling saya minati.
"Saya tak suka bekerja dalam satu bidang sahaja, pada masa yang sama saya akan fokus dan lakukan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, saya tak suka tangkap muat sahaja," tambahnya.
Kata Shiha, dia belum sempat belajar dengan sesiapa untuk menjadi penyampai radio setakat ini, namun telah melakukan usaha belajar sendiri di rumah.
"Setakat ini saya masih belum berguru, masa pun singkat, saya belum sempat berguru dengan sesiapa melainkan kalau saya terima tawaran untuk jadi penyampai radio tetap di ERA.
"Bagaimanapun, saya suka belajar, sejak pihak ERA memberi cabaran itu, saya banyak belajar sendiri, saya asyik dengar radio sahaja di rumah.
"Saya tak mampulah nak jadi penyampai radio yang berkaliber seperti penyampai radio yang sebetulnya, bidang ini masih sangat baru untuk saya," katanya lagi.
Jangan lupa dengarkan Petang ERA bersama Radin, Danial dan Shiha Zikir setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 4 petang hingga 8 malam!
Must-Watch Video