Pelakon dan pengacara, Amelia Henderson mengakui dirinya sudah cukup bersedia sekiranya diberi peluang untuk mewakili negara dalam pertandingan ratu cantik, Miss Universe pada tahun ini.

Kata Amelia, 27, dengan berbekalkan pengalaman sebagai anak seni, dia akui mampu untuk mengawal sebarang tekanan dalam pertandingan tersebut selain ingin mengharumkan nama negara

“Mungkin sebelum ini saya belum cukup matang, sekarang saya rasa sudah cukup bersedia untuk kawal tekanan, persedian dan sebagainya dengan berbekalkan ilmu dalam industri hiburan. Secara personal, saya cukup yakin dan saya rasa sudah cukup layak.

“Bukan sekadar untuk menunjukkan wajah yang cantik, tetapi dengan kelebihan dan bakat yang ada mampu menolong para wanita di luar sana dalam masa sama naikkan nama Malaysia,” katanya kepada Gempak.

Terdahulu, Amelia menerusi satu ciapan di laman Twitter, berseloroh dengan menyatakan dia ingin menyertai pertandingan tersebut sehingga tweet berkenaan menjadi tular dan mendapat perhatian umum

Mengulas mengenai hal itu, hos Gempak Most Wanted Weekly Show itu berkata dia tidak menyangka apabila ramai yang memberi sokongan kepadanya.

“Memang impian saya daripada kecil nak masuk Miss Universe, tetapi bila dah semakin besar dan ditambah dengan kisah peribadi yang saya lalui dalam hidup, saya rasa tidak yakin dan terus tutup impian itu.

“Saya tidak sangka tweet itu viral, ia hanyalah sekadar tweet spontan dalam kepala saya just one second. Bila ramai sangat orang sokong, saya rasa patut mengambil itu sebagai perkara yang serius.

"Saya sangat bersyukur apabila ramai yang menyokong dan mendoakan saya,” tambahnya.