HIBURAN
Saiful Apek Kesal Ada Pihak Sebar Fitnah Gara-Gara Foto Dakwaan Ditahan - “Ada Juga Yang Buka Semula Cerita Lama Saya”
Pelawak dan pelakon senior, Saiful Apek tampil bersuara apabila ada pihak yang membuat dakwaan tidak berasas terhadapnya susulan sebuah foto dakwaan dia ditahan baru-baru ini.
Saiful Apek atau nama sebenarnya, Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, berkata, orang ramai seharusnya mendapatkan kesahihan sesuatu perkara sebelum menyebarkan spekulasi yang boleh mencetuskan fitnah.
“Kita kena percaya pada rukun Iman keenam iaitu Qada dan Qadar. Perlu percaya segala yang berlaku sudah tertulis oleh Allah. Tapi ramai yang gagal menangani rukun Iman keenam itu.
“Kita sebagai manusia perlu bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan. Jangan kita bercakap buruk sesuatu yang kita tidak tahu kesahihannya. Tidak hanya percakapan, tetapi juga tindakan.
“Selepas artikel saya keluar ramai yang buat spekulasi sendiri kata saya terbabit macam kes sahabat saya (kes dadah). Malah, ada juga yang buka semula cerita lama saya.
“Daripada terus membiarkan orang buat dosa kering, lebih baik saya tampil menjelaskan perkara sebenar apa yang berlaku,” katanya kepada Gempak.
Selain itu, Apek turut menyampaikan permohonan maaf kepada ahli keluarganya serta anggota kumpulan Senario yang turut terpalit dalam kontroversi tersebut.
“Macam saya sendiri tidak sangka implikasinya juga terkena pada ahli Senario yang lain. Saya minta maaf kepada mereka kerana tidak jangka akan jadi sebegini teruk.
“Saya juga nak minta maaf kepada isteri, adik-beradik dan keluarga saya. Harap semua jangan cepat melatah kerana inilah dunia,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Apek menjelaskan dirinya bukan ditahan, sebaliknya foto yang tular dirakamkan adalah ketika polis sedang meleraikan pertelingkahan membabitkannya dan seorang individu tidak dikenali.
Must-Watch Video