HIBURAN
Saiful Apek Perjelas Cerita Sebenar Dakwaan Kena Tahan - “Individu Dalam Foto Itu Memang Saya Tapi…”
Pelawak terkenal, Saiful Apek, tampil memberikan penjelasan bahawa dirinya tidak ditahan seperti yang disangka, sebaliknya gambar yang tular sebelum ini sebenarnya diambil ketika pihak polis campur tangan bagi meleraikan pertelingkahan antara beliau dan seorang individu.
Menurut Saiful, yang lebih dikenali sebagai Apek, insiden itu bermula apabila seorang individu yang tidak dikenali menghina filem 6 Jilake serta pengarahnya, Aziz M Osman, sehingga mencetuskan ketegangan.
“Individu dalam foto itu memang saya cuma situasi sebenarnya saya bukan ditahan, tapi sebaliknya pihak polis sedang meleraikan salah faham. Tapi saya bukan bergaduh, memang ya nampak dalam gambar seperti bergaduh tapi tidak.
“Apa yang membuatkan saya terusik apabila dia sebut nama abang saya, Abang Aziz serta mendakwa filem tersebut adalah sampai. Kalau setakat sebut nama saya, saya masih boleh kawal tapi ini membabitkan individu yang saya anggap sebagai sifu,” katanya kepada Gempak.
Apek ditemui pada majlis sambutan Terbaek Raya mStar di The Agam, Kuala Lumpur, petang tadi.
Menurut Apek, insiden itu berlaku ketika dia menghadiri majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain di Cheras pada Isnin lalu.
“Ketika kejadian saya hadir ke rumah terbuka Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin, tiba-tiba ada seorang individu yang tak dikenali membuat provokasi berkenaan filem itu sehingga saya hilang sabar.
“Saya pun bangun dan beredar kerana tidak menganggu majlis. Saya ingatkan habis di situ, tapi bila saya ke parkir kereta, individu masih melakukan provokasi sehingga datangnya pihak polis meleraikan pertelingkahan kami,” jelasnya lagi.
Semalam, kecoh apabila sebuah portal melaporkan kelibat seorang pelawak memakai baju merah jambu yang menyamai Saiful Apek ditahan oleh dua anggota polis. Bagaimanapun, lokasi dan punca kejadian tidak dikenal pasti.
Susulan itu, Apek memohon maaf kepada keluarga dan sahabat yang turut terpalit dalam kontroversi ini.
“Saya harap semua orang jelas dengan kenyataan ini dan saya mohon semua bertenang terutamanya ahli keluarga dan sahabat terdekat yang terkejut mendengar apa yang berlaku.
“Cuma apa yang paling saya risau apabila ramai yang menghubungi ahli Senario terutamanya Azlee yang kita tahu mempunyai masalah jantung,” katanya.
Terdahulu, bertebaran sekeping foto dikirim individu tidak dikenali memaparkan kelibat seorang pelawak telah ditahan oleh pihak berkuasa pada Selasa.
Individu yang mengirim foto berkenaan mendakwa pelawak ditahan itu merupakan ahli kumpulan Senario iaitu Saiful Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56.
Dalam foto berkenaan, Saiful yang memakai baju Melayu berwarna merah jambu bersama seorang lagi individu dilihat ditahan oleh dua anggota beruniform di satu lokasi yang tidak diketahui.
Malah Saiful dan individu tersebut dilihat seperti sedang disoal siasat oleh anggota berkenaan.