Viral
“Sajat Bertudung Untuk Ambil Gambar Sahaja, Berihram dan Solat Seperti Lelaki Juga” – PU Amin Bersangka Baik
Pencetus Ummah (PU) Amin berharap agar semua jemaah umrah menjaga hati dan bersangka baik terhadap usahawan kontroversi, Sajat yang sedang tular ketika ini.
Menerusi posting di Instagram (IG), PU Amin berkata semua jemaah Malaysia juga agak sibuk dan kecoh membicarakan tentang isu tersebut.
PU Amin berkata, ramai jemaah yang mengadu dan memahami kerisauan umat Islam namun, biarlah Allah SWT dan pihak berkuasa menyelesaikannya.
Pendakwah bebas tersebut yang kini berada di tanah suci mengerjakan umrah turut memohon kepada jemaah agar fokus kepada ibadah masing-masing.
“Semoga Allah memelihara seluruh muslimat di Tanah Suci Makkah. Ada ibu, kakak, adik perempuan yang mesti dijaga.
“Ya Allah pelihara Tanah Suci Makkah dan Madinah. Di Makkah semua jemaah Malaysia agak sibuk dan kecoh membicarakan hal ini. Di sini jaga hati kita. Sangka baik.
“Selainnya biar Allah SWT dan pihak berkuasa menyelesaikannya. Fokus pada ibadah kita semua. Saya faham kerisauan semua jemaah muslimat, ramai mengadu tadi, jangan risau Allah ada, Allah akan pelihara kita. Allah aturkan kebaikan untuk semua,” tulisnya pada ruangan posting.
Sementara itu pada kenyataan yang dimuat naik, PU Amin memberitahu dia bersangka baik yang Sajat bertudung untuk bergambar sahaja namun berihram seperti lelaki dan mengerjakan solat juga di bahagian lelaki.
“Harapnya begitu, jika tidak ia satu perkara yang cukup aib. Maruah dan aurat seluruh wanita di tanah haram boleh tercemar.
“Semoga Allah memelihara kita semua dari terbatal atau rosak ibadah ketika melakukan umrah,” tulisnya.
PU Amin juga mengakui umrah itu hukumnya harus dan Allah menerima sesiapa sahaja cuma hukum hakam aurat perlu dijaga agar tidak merosakkan ibadat muslim yang lain.
“Mereka kena ihram pakai pakaian lelaki di sini bagi menjaga kesucian Kota Makkah. Semoga hidayah dan kasih sayang Allah buat semua kawan-kawan Mak Nyah yang mahu berubah ke jalan Allah,” katanya.