Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sajat Sudah Ditahan Di Bangkok, Sedang Tunggu Kebenaran Pindah Ke Australia

Gempak
20/09/2021 01:55 MYT
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atu Nursajat dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Sumber memaklumkan Nur Sajat, 36, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.

Penahanan Nur Sajat dilakukan pihak berkuasa negara gajah putih itu selepas mendapat maklumat mengenai keberadaan usahawan kosmetik di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro, usaha mengesan Sajat dilakukan jabatan imigresen Thailand selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand mengenai lolosnya usahawan berkenaan ke negara tersebut.

"Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.

"Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya.

“Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia," katanya memaklumkan Nur Sajat ditahan bersama dengan seorang lelaki tempatan (Thailand) yang juga berperwatakan sepertinya di kondominium mewah itu.

Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.

"Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

"Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat," katanya.

Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.

"Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari," katanya.

Menjawab soalan wartawan, sumber itu memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.

"Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.

"Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya," katanya.

Tunggu kebenaran nak pindah Australia

Turut dilaporkan usahawan kosmetik tersebut juga didakwa sedang memohon perlindungan dan kebenaran untuk berpindah ke Australia.

Ditanya apa alasan sebenar Nur Sajat untuk memohon kad pelarian dan berpindah ke Australia, sumber berkata, usahawan kosmetik itu mendakwa dia mendapat ugutan bunuh selepas mengumumkan keluar daripada Islam selain diburu lebih 100 penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Semakan imigresen Thailand mendapati pasport Nur Sajat dibatalkan kerajaan Malaysia. Dia (Nur Sajat) kemudian menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan adalah seorang pelarian.

"Hasil soal siasat dilakukan pegawai imigresen Thailand, Nur Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia.

"Semakan mendapati Nur Sajat memperoleh kad UNHCR yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok," katanya.

Sumber sama memaklumkan, ibu pejabat UNHCR di Bangkok juga sudah menyediakan peguam untuk Nur Sajat dan dilaporkan bersedia membantunya untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.

"Beberapa urusan berkaitan perpindahan Nur Sajat juga sedang diusahakan UNHCR dengan wakil kedutaan Australia di Bangkok," katanya.

Sumber: Harian Metro
#Ditahan #Polis #Muhammad Sajjad #Sajat Kena Tahan Di Bangkok
;