Sakit Hati Dipecat, Bekas Pekerja Curi Wang Syarikat
Seorang wanita nekad mencuri wang sebanyak 57.3 juta rupiah iaitu kira-kira lebih RM15,000 daripada premis pengurup wang milik syarikat di Kabupaten Badung, Bali, Indonesia.
Difahamkan, kejadian itu berlaku gara-gara wanita berkenaan sakit hati selepas mendapat surat peringatan kedua oleh pihak atasan.
Menurut Ketua Polis Bahagian Kuta, Agus Riwayanto Diputra, setelah suspek berhenti kerja, dia kemudiannya datang ke pejabat dan masuk menggunakan kunci pendua.
“Pelaku guna anak kunci palsu untuk membuka pintu pejabat dan ambil wang di dalam laci.
“Kegiatan curi ini terbongkar apabila dua pekerja lain mendapati wang di dalam laci tersebut hilang dibawa lari pelaku,” katanya pada Rabu.
Laci terbabit juga terisi penuh dengan nilai matawang asing lain seperti lima dolar Singapura, 200 yuan China dan 737 dolar Amerika Syarikat (AS).
Susulan itu, suspek berjaya ditangkap di rumahnya pada Isnin lepas dan polis turut menyita sejumlah barang bukti berupa iPhone 13 serta beberapa keping wang.
Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan.