Anak tiri kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid berkongsi tentang pengalaman mengerjakan umrah baru-baru ini tatkala dunia masih lagi dihurung oleh pandemik COVID-19.

Menerusi temu bual bersama Gempak, Asyraf berkata, proses untuk mengerjakan umrah ketika ini agak berbeza berbanding sebelum dunia dilanda pandemik.

A post shared by Asyraf Khalid™ (@asyrafkhalid)


“Jika sebelum ini kita hanya perlu menyediakan pasport dan beberapa dokumen sahaja, tetapi sejak dunia dilanda virus COVID-19, banyak hal yang perlu dikelolakan sebelum dan selepas mengerjakan umrah.

“Sebagai contoh, kami perlu menjalani swab test sehingga tiga kali iaitu sebelum berangkat ke tanah suci, sebelum pulang ke Malaysia, dan selepas tiba di Malaysia.

“Tetapi, sakit hidung swab test banyak kali pun tampa, asalkan dapat pergi tempat yang dirindui,” jelas Asyraf yang mengunjungi kota suci Makkah dan Madinah pada 20 Oktober lalu bersama isteri, Tya Arifin dan rakan-rakan.

Menurut Asyraf, niat untuk mengerjakan umrah tercetus secara spontan sewaktu dia sedang bercuti dalam negara baru-baru ini.

“Ketika kerajaan mengumumkan yang kita boleh terbang ke luar negara, saya sedang bercuti dengan rakan-rakan. Ketika itu jugalah saya bercadang untuk mengerjakan umrah. Maklumlah, saya dah lama tidak ke sana.

“Jadi, saya tidak mahu tangguh dan terus mendaftar diri dengan agensi untuk mengerjakan ibadah umrah. Tambahan pula, lokasi terakhir di luar negara yang saya lawati adalah Madinah, jadi rasa rindu untuk ke sana menjadi makin menebal,” katanya lagi.

Bercerita lanjut mengenai keadaan di Makkah dan Madinah, Asyraf berkata yang ibadah umrah hanya boleh dilakukan dengan permit menerusi pendaftaran yang dilakukan oleh agensi untuk para jemaah.

A post shared by Tya Arifin (@tyaarifinnw)


“Kami sudah boleh pergi ke masjid pada bila-bila masa sahaja untuk solat. Namun, bagi ibadah umrah di Makkah, kami hanya boleh kerjakan selepas mendapat permit yang didaftarkan oleh agensi, atau mendaftar secara sendiri menerusi aplikasi telefon bimbit.

“Suasana di sana terkawal dan masing-masing menjaga prosedur operasi standard (SOP). Namun, saya bersyukur kerana pengalaman saya di sana semuanya manis-manis belaka. Dan alhamdulillah, kami juga berasa sangat selamat dan kembali ke Malaysia dalam keadaan yang sihat,” katanya.

Asyraf dan isterinya tiba di Kuala Lumpur pada 30 Oktober lalu selepas mengerjakan umrah sekitar 10 sepuluh hari.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!