Hiburan
Sakit Tekak, Ziana Zain Kecewa Tak Dapat Nyanyi
Penyanyi lagu Madah Berhelah, Ziana Zain kecewa kerana tidak dapat melakukan persembahan di konsert akhir Seiras Seirama yang berlangsung pada Ahad.
Ziana yang sedang mengalami sakit tekak tidak dapat menyanyi kerana keadaan vokalnya yang serak.
"Sepatutnya saya menyanyi bersama Mas Idayu di malam akhir Seiras Seirama. Namun begitu, keadaan vokal saya tidak mengizinkan.
"Sudah masuk dua minggu saya tidak sihat. Bermula dengan demam, kini saya sakit tekak pula. Sekarang pun memang musim ramai orang tidak sihat," kata Ziana kepada Astro Gempak.
Sudah lama tidak diserang demam, Ziana bersyukur kerana tiada komitmen persembahan yang diterima olehnya sepanjang bulan ini.
"Nasib saya sangat baik kerana sepanjang bulan Februari ini, saya hanya berehat dan tidak mengambil sebarang tawaran persembahan. Saya hanya fokus kepada tugas saya sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2016.
"Untuk kembali sihat, saya hanya mengikut nasihat doktor dan makan ubat yang diberikan. Saya juga mengamalkan detoks," katanya yang ditemui selepas konsert Akhir Seiras Seirama.
Mengulas mengenai kemenangan klon ikonnya, Azlin yang menjuarai Seiras Seirama, Ziana bersyukur dan merasakan ianya sebagai satu landasan untuk Azlin memulakan langkah dalam bidang nyanyian.
"Saya melihat ini sebagai satu landasan yang baik untuk Azlin bagi memulakan kerjayanya dalam bidang nyanyian. Dia seorang yang berbakat dan mempunyai potensi untuk pergi jauh," kata Ziana mengakhiri perbualan.
Kesemua peserta diadili oleh tiga juri profesional iaitu, Datuk AC Mizal, Datuk Khadijah Ibrahim dan pengarah terkenal Mamat Khalid.
Program pertama mencari klon artis terkenal tanah air itu dihoskan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi dan diadakan secara langsung dari Studio 1, Pusat Penyiaran Astro, Bukit Jalil.
Pentas akhir Seiras Seirama bersiaran secara langsung bermula pukul 9.00 malam Ahad di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Teks oleh: Kamaruddin Razal