NAURA, saluran gaya hidup Muslim kontemporari dengan berbesar hati melancarkan program terbaharunya, In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta yang bakal bersiaran mulai Isnin, 7 September ini.

Program eksklusif berdurasi 30 minit ini akan berlangsung selama 8 episod berturut-turut. In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta mengisahkan perjalanan pelakon, pengacara, model dan usahawan jelita Mira Filzah dan pilihan hatinya, Wan Emir Astar dalam mencari jawapan kepada pelbagai persoalan tentang alam rumah tangga, sebagai persiapan untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Saksikan Mira dan Wan Emir dalam pertemuan mereka dengan beberapa individu disegani bagi mendapatkan nasihat dan bimbingan terbaik demi kelangsungan dan kebahagiaan hubungan mereka selepas diijabkabul.

Antara individu yang ditemui termasuklah Datuk Prof Dr Muhaya, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, Ustaz Datuk Badli Shah, Imam Muda Asyraf, Ustazah Asni Mansor, dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

Menurut Naib Presiden Saluran Perniagaan Melayu Astro, Azlin Reza Azmi, pihaknya amat teruja ketika bekerjasama dengan figura yang diminati ramai itu.

“Sebagai saluran yang memberi fokus kepada kandungan gaya hidup Muslim moden, kami amat teruja apabila dapat bekerjasama dengan figura serba boleh dan diminati ramai, Mira Filzah untuk menghasilkan sebuah kandungan yang cukup eksklusif ini.

"Audiens, terutamanya peminat Mira dapat mengenalinya dengan lebih dekat dan turut sama menyaksikan perjalanannya menuju ke gerbang perkahwinan.

"Penampilan istimewa Wan Emir Astar turut melengkapkan lagi program ini," katanya.

Dalam pada itu, Azlin turut mengatakan, program In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta ini mampu memberi inspirasi dan membentuk perspektif baru kepada mereka yang mempunyai tanda tanya tentang perkahwinan sebelum ini.

"Kami yakin, program ini bukan sahaja boleh mencetuskan inspirasi buat wanita Muslim moden di negara ini, malah ia juga dapat memberikan perspektif baru untuk mana-mana individu yang sebelum ini mungkin mempunyai pelbagai persoalan tentang perkahwinan yang masih tidak lagi terjawab.

"Kehadiran tokoh-tokoh yang disegani semestinya dapat memberikan pandangan lebih luas dan terbuka tentang keindahan serta cabaran dalam sesebuah perkahwinan," katanya lagi.

Mira dan Wan Emir selamat diijabkabul dengan sekali lafaz di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur kira-kira jam 8.58 malam tadi.

BACA : Mira Filzah Sah Isteri Kepada Wan Emir

Saksikan tayangan serentak episod pertama In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta di NAURA (saluran 109), Ria HD (saluran 104) dan Astro Ria (saluran 124) mulai Isnin, 7 September pada jam 9 malam.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, program ini juga boleh distrim secara percuma melalui aplikasi Astro GO, dan secara on demand bagi pelanggan Astro.