Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Salah Guna Wang Infak: Alif Teega Kekal Pengakuan Tidak Bersalah

Gempak
24/10/2024 00:50 MYT
Pempengaruh media sosial, Mohd Hazalif Mohd Hazani, atau lebih dikenali sebagai Alif Teega pada Rabu mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menyalah guna lebih RM60,000 wang yang diperoleh daripada kutipan program infak tahun ini.


Mohd Hazalif, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan infak iftar di Makkah, Syria dan Palestin di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari di sini pada 26 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi Program Jom! Sertai Infak Daging Qurban di bank sama pada 15 Jun lepas.

Mohd Hazalif didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pertuduhan dibacakan semula selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin lepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin untuk memindahkan kes itu bagi dibicarakan bersama 10 pertuduhan lain manakala wang jaminan berjumlah RM50,000 dilanjutkan.

Pada 23 September lepas, Mohd Hazalif dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan salah guna wang derma berjumlah RM1.52 juta antaranya bagi tujuan infak kurma, infak al-Quran serta infak pek makanan untuk fakir miskin di Makkah dan Madinah selain bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu serta set pakaian raya kepada anak yatim.

Terdahulu, Julaila memohon mahkamah mengekalkan tarikh sebutan penyerahan dokumen pada 27 November depan manakala wang jaminan RM50,000 yang dikenakan ke atas Mohd Hazalif dilanjutkan.

Mohd Nasir kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan selepas peguam Mohd Shahrullah Khan, yang mewakili pempengaruh itu, tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Sumber: Sinar Harian
#Influencer #Alif Teega #Aisyah Hijanah #Wang #Pempengaruh #Infak #Salah guna
;