Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Salah Parking Kereta Depan Rumah Sendiri Atau Rumah Jiran, Boleh Dikompaun RM2,000

Amri Hassan
06/10/2023 00:55 MYT
Berkuatkuasa 2 Oktober lalu, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengeluarkan notis melarang pemilik rumah atau jiran meletak kenderaan awam di hadapan rumah masing-masing.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Bandar MBPG, sesiapa yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Seksyen 49(1)(g) Akta Jalan Parit dan bangunan 1974 (Akta 133), Undang-undang kecil 3(n) Undang-undang Kecil Vandalisme (Majlis Perbandaran Pasir Gudang) 2011 dan perintah 17(1) dan 17(2) perintah lalu lintas jalan (peruntukan mengenai tempat meletak kenderaan) Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang 2011.

Tindakan mengenakan kompaun serta merta boleh dikenakan dibawah undang-undang kecil kompaun kesalahan dibawah Akta Kerajaan Tempatan (MBPG) 2010 sebanyak RM500 dan dibawah undang-undang kecil jalan, parit dan bangunan dengan kadar maksima RM2,000.

Difahamkan MBPG mengambil tindakan tegas itu susulan meningkatnya laporan pemilik rumah yang mendakwa jiran sering meletakkan kenderaan di hadapan rumah mereka dan mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan penduduk.

Bagaimanapun, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, langkah tersebut juga tidak kena pada masanya sekali gus keputusan berkenaan menimbulkan tanda tanya tentang motif sebenarnya.

"Saya tak boleh nak hadam dengan cara mentaliti segelintir PBT yang tak cakna dengan kehidupan rakyat. Ketika ramai berdepan dengan peningkatan harga barang dan kos sara hidup, apa pula PBT yang nak cari pendapatan dengan cara mudah.

"Nak saman kenderaan yang parking depan rumah sendiri atau rumah jiran. Apa bendalah mentaliti terdesak PBT yang tak prihatin langsung dengan keadaan semasa rakyat. Ya betul, memang ada undang-undang kecil PBT yang macam itu tapi tak perlulah nak laksanakan dalam situasi sekarang ini.

"Apa tujuan sebenarnya? Nak cari pendapatan ke? Nak dapat duit cara mudah? Cubalah PBT ni cari sumber pendapatan dengan cara lain yang tak menyusahkan rakyat terutamanya golongan B40," katanya dalam satu kenyataan.

#Viral #Johor #Kereta #Kompaun #Parking #Pasir Gudang #PBT
;