Kehadiran dua penyampai radio popular, Mawi bersama Anas Tahir bertemu pelajar universiti bukan saja memberi hiburan tapi membawa pengaruh positif pada pendengar mereka.

Perkara tersebut diakui Anas yang berpandangan ramai pendengar sebenarnya hanya kenal rupa penyampai radio menerusi acara persembahan pentas mahupun aktiviti 'turun padang' di lokasi tertentu.

Mawi dan Anas yang lebih dikenali menerusi segmen Salam Bros di radio Zayan muncul dalam satu sesi istimewa pada acara Minggu KaryaOne 21 yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor hari ini.

"Ia suatu aktiviti yang menarik apabila penyampai radio 'turun pandang' bertemu pendengar secara lebih dekat.

"Seperti acara ini, bila naik ke pentas baru hadirin kenal kami sebagai penyampai radio. Saya sendiri tidak kisah sangat perkara itu sebab saya mahu jadi diri sendiri dan pada masa sama, walaupun masa penampilan kami tadi sekejap tapi impak terhadap pendengar yang mahu mendekati kami lebih santai," katanya kepada Astro Gempak.



Ujarnya, dia bersama Mawi sentiasa berusaha memberi contoh terbaik pada semua pendengar termasuk pelajar universiti yang meminati mereka yang mungkin suatu hari nanti bakal menjadi penyampai radio seperti mereka.

"Tidak dinafikan ada antara mereka yang lebih kenal Salam Bros daripada kami secara individu.

"Ada juga pelajar memberitahu mereka turut mendengar Zayan. Tak mengapa sebab Zayan baru setahun lebih untuk mendekati lebih ramai pendengar," katanya.



Anas berkata, Salam Bros makin dikenali apabila pergi mana-mana acara mahupun membuat persembahan nyanyian bersama.

"Dalam Salam Bros ada Mawi dan saya yang mengambarkan satu persahabatan yang sangat positif.

"Sekarang ini secara realiti Mawi juga menjemput saya untuk acara persembahan lain. Alhamdulillah, terima kasih pada semua pendengar yang memberi kepercayaan pada Salam Bros untuk menghiburkan mereka pada setiap pagi," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak