Salam Takziah… Bapa Nabil Ahmad Meninggal Dunia

Mya Amri
Oktober 7, 2022 09:05 MYT
Bapa kepada pengacara Gegar Vaganza 9 (GV9), Nabil Ahmad iaitu Ahmad Haji Ismail meninggal dunia hari ini.

Berita itu disahkan sendiri oleh pengurus Nabil dihubungi Gempak sebentar tadi.

Menurutnya, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Serdang akibat komplikasi jantung.

“Ayah Nabil baru sahaja meninggal selepas Jumaat tadi kira-kira jam 2:30 petang di Hospital Serdang akibat komplikasi jantung.

“Jenazah masih berada di Hospital Serdang untuk proses seterusnya dan akan dibawa ke Masjid Kariah Mambau, Negeri Sembilan untuk disembahyangkan.

“Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Garam. Insya-Allah pada petang atau malam ini juga,” katanya kepada Gempak.

Sementara itu, akaun Instagram rasmi ERA.je juga turut berkongsi berita duka itu.

“Salam takziah buat @nabilzira dan keluarga di atas pemergian ayah tercinta.

“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Ahmad Haji Ismail dan semoga rohnya ditempatkan bersama-sama kalangan orang beriman,” tulis kenyataan itu.

Terdahulu, ayah Nabil sebelum ini dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu.

#Nabil Ahmad #Gegar Vaganza #Meninggal Dunia #Bapa Meninggal Dunia #GV9 #Gegar Vaganza 9 #Gegar Vaganza 2022