Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Salma: Takkan Saya Nak Biarkan Anak Saya Kena Dera?

Kamaruddin Razal
18/04/2017 11:44 MYT
Penyanyi kelahiran program realiti Mentor, Salma dan suaminya, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 9, Azri enggan memberikan sebarang komen lanjut mengenai dakwaan Azri mendera anak tirinya yang berusia 10 tahun.

Azri didakwa mencelup kedua-dua tangan anak Salma, Putri Nurul Huda, 10, ke dalam air panas sekitar Mei tahun lalu. Putri merupakan anak hasil perkahwinan pertama Salma.

"Saya dan Salma diberi nasihat oleh peguam untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut mengenai kes ini. Kami serahkan semuanya kepada peguam. Kami tak mahu komen kerana tidak mahu mengganggu proses mahkamah," kata Azri kepada Astro Gempak.

Tambah Salma, perkahwinannya bersama Azri tidak mengalami sebarang masalah.

"Apa yang boleh kami katakan, perkahwinan kami bahagia bersama anak-anak. Saya sendiri sebagai seorang ibu, takkan saya mahu biarkan ada orang lain mahu mendera anak saya?" kata Salma yang ditemui di majlis santai mesra De' Wajah dan pelancaran produk De' Ratu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Sebelum ini, Azri atau nama sebenarnya, Mohammad Azri Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 14 April lalu atas tuduhan tersebut.

Salma atau nama sebenarnya, Salma Andi Asis, 27, mendirikan rumah tangga dengan Azri pada 31 Januari 2015.

Teks oleh: Kamaruddin Razal


#Azri AF9 #Salma
;