Kecewa dengan insiden air tercemar di Sungai Selangor, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kini menawarkan ganjaran RM5,000 kepada pihak yang dapat menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya pihak yang terlibat.

Menerusi laporan Astro Awani, Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ganjaran itu diberikan selaras dengan komitmen kerajaan dalam Belanjawan 2021.

"Oleh yang demikian, KASA ingin menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada mana-mana pihak yang dapat menyalurkan maklumat dan bukti sehingga tertangkapnya pihak yang melakukan pencemaran ini.

“Sebarang maklumat hendaklah disalurkan kepada [email protected] atau talian hotline JAS di 1-800-88-2727.

"Ganjaran yang diberikan ini adalah selaras dengan komitmen berterusan kerajaan di dalam Belanjawan 2021 yang akan menyediakan peruntukan khas kepada mana-mana yang dapat menyalurkan maklumat tentang sebarang salah laku dan pelanggaran undang-undang, termasuk isu pencemaran sungai," katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, KASA amat memandang serius mengenai insiden yang kini memasuki kali ketujuh sehingga Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihentikan tugas.

"Saya amat memandang serius mengenai perkara ini kerana tujuh ) insiden henti tugas loji rawatan air di Selangor akibat pencemaran sungai pada tahun ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi satu kenyataan rasmi menjelaskan terdapat gangunan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah bermula jam 6 petang semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, masalah tersebut berpunca daripada pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

BACA: Isu Bekalan Air Datang Lagi, Netizem Amuk : “Memang Setiap Bulan Ke Tak Ada Air?”

Gambar: Astro Awani