Laman Utama

Sam Ke Ting Bebas Tuduhan Sebabkan Kematian 8 Remaja Basikal Lajak

gempak
Gempak
11/04/2023
06:07 MYT
Sponsor Banner
Sam Ke Ting Bebas Tuduhan Sebabkan Kematian 8 Remaja Basikal Lajak
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa melepas dan membebaskan kerani, Sam Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan secara sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting, 28, selaku perayu.
Semasa membaca keputusan penghakiman, Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi hanya memfokuskan pada pemandu tapi bukan kepada kumpulan lajak basikal itu.
“Berlainan dengan Mahkamah Majistret yang membuat penilaian secara maksimum dengan memfokuskan semua sudut yang mana kemalangan ini mustahil dapat dielakkan.
“Satu cara untuk mengelak kemalangan adalah kereta itu ‘terbang’ ketika melalui kumpulan basikal lajak,” katanya.
Beliau berkata, dapatan Mahkamah Majistret adalah tepat kerana tiada cara lain hendak mengelak kemalangan itu.
Dalam prosiding ini, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik hadir bagi mewakili Ke Ting manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.
Pada 18 Febuari 2017, lapan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menunggang basikal lajak, maut dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.
28 Mac 2017, pemandu wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal.
Ke Ting ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.
Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Pada 28 Oktober 2019, dia dibebaskan oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan pemandu wanita itu membela diri atas pertuduhan berkenaan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Ke Ting.
10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskannya.
Sehari kemudian, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan itu.
Pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret dan memerintahkan Ke Ting dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000.
Sumber: Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live