Sama Teknik Macam Harry Styles, Aina Abdul Berlatih Vokal Sambil Berbaring! - "Mikrofon Pun Pakai Yang Sama Untuk ..."

Amri Hassan
Februari 21, 2020 03:22 MYT
Penyanyi Aina Abdul mendedahkan sesi latihannya menggunakan teknik menyanyi sambil berbaring demi memantapkan vokalnya sempena Anugerah Juara Lagu ke-34 baru-baru ini.
Jelas Aina, teknik itu paling mencabar kemampuannya sebagai penyanyi namun efektif untuk beroleh hasil yang mengagumkan.
"Salah satu daripada sesi latihan saya dengan menyanyi sambil berbaring. Ia sangat mencabar tetapi cara berkesan untuk mendapatkan kekuatan dalaman, terutama daripada segi pernafasan.
"Saya tak tahu jika ia berkesan untuk semua penyanyi," katanya dalam sepotong video menyanyikan lagu Sumpah di studio nyanyian.
Malah, kata Aina dia menggunakan mikrofon yang sama yang digunakan ketika berlatih dan di pentas sebenar (AJL34).
"Saya pun berlatih menggunakan mikrofon yang saya guna untuk pentas akhir AJL34 hari itu," katanya.
Teknik itu turut mendapat perhatian finalis AJL34, Ernie Zakri yang bersetuju dengan cara latihan Aina.
"Terima kasih kerana berkongsi proses kamu. Kagum melihat kesungguhan untuk mendapatkan hasil terbaik," tulis Ernie.
Selain itu, netizen turut memberikan pujian dan motivasi buat Aina untuk lebih bersemangat sekali gus menyajikan karya-karya indah lagi selepas ini.
"Menyanyi baring pun sedap, apatah lagi berdiri," tulis @farhanadean.
"Harry Styles pun berlatih vokal guna teknik ini," dedah @nuramalina_abdulaziz.
"Baring pun sedap, saya baring keluar bunyi dengkur je," seloroh @joe_azrul.
"Fuh memang rare! Selalu nyanyi duduk, ni siap baring. Pun sedap, terbaiklah," puji @norazlina_ms.
Aina mempertaruhkan lagu Sumpah pada AJL34 dan persembahannya turut mencuri perhatian umum hingga tular dan menjadi sebutan ramai.
#Viral #Viral #Aina Abdul #Sumpah