HIBURAN

Sambal Nyet & Daging Dendeng Catat Jualan 42 Juta, Khairul Aming Syukur…Bakal Lancar Produk Ketiga

Umirah Halim 19/03/2025 | 07:55 MYT
Pempengaruh dan usahawan Khairul Aming berkongsi kejayaan bisnes Sambal Nyet dan Daging Dendeng miliknya.

Kongsi untung bisnes

Menerusi perkongsian video di akaun Instagram, Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, memaklumkan bahawa jualan bisnesnya telah mencapai peningkatan sebanyak 110 peratus dari tahun sebelumnya.

“Alhamdulillah jualan produk Khairulaming untuk tahun 2024 mencecah RM 42 Juta, iaitu peningkatan sebanyak 110% dari tahun sebelumnya (RM 20 juta),” tulisnya.

Dalam pada itu, figura yang terkenal dengan tagline ‘Hey what’s up guys’ ini juga memberitahu akan menambah kilang dan pasukan siaran langsung selain memberi bayangan bakal mengeluarkan produk ketiganya.

“Untuk tahun 2025 fokus kita adalah untuk expand ke kilang ketiga di Kelantan, keluarkan produk ketiga dan expand lagi team livestream,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Khairul Aming juga menzahirkan ucapan syukur di atas sokongan yang diterima sepanjang lima tahun berada dalam industri perniagaan.

“Terima kasih untuk sokongan, alhamdulillah sekarang dah masuk tahun ke-5 kita berniaga. Harap boleh expand lagi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

#Bisnes #juta #Aming #Untung #Khairul