Sambung PJJ Sejak 2015, Akhirnya… Tomok Bakal Tamat Belajar!

Azwa Rahman
Februari 6, 2020 07:52 MYT

Penyanyi Tomok meluahkan rasa syukurnya apabila dia semakin hampir menamatkan pengajian ijazah sarjana mudanya tidak lama lagi.

Menerusi laman sosial Instagram, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 36, memuat naik beberapa keping foto ketika berada di Universiti Utara Malaysia (UUM) cawangan Kuala Lumpur untuk tatapan umum.

“Sedar tak sedar bermula kelas pertama pada tahun 2015 dan kini ia semakin hampir, Insya-Allah,” tulis Tomok sebagai kapsyen.

Memilih bidang Pengurusan Industri Kreatif dalam Pengajian Jarak Jauh, Tomok yang kini berada di dalam semester akhir turut memberikan ucapan penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan yang sering membantu sepanjang perjalanan pengajiannya.

“Gambar kedua bersama sahabat-sahabat yang banyak membantu dalam kelas, pembentangan dan tugasan,” tulisnya lagi.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengikut berasa bangga dan memberikan sokongan untuk Tomok terus mencapai impian.

“Sukses terus abang Tomok,” tulis seorang wargamaya.

“Yeay, selamat berjaya untuk semester akhir!” komen seorang wargamaya.

“Syabas Tomok, saya doakan Tomok terus berjaya,” kata seorang wargamaya lagi.

Selain Tomok, antara beberapa selebriti lain yang turut menyambung pengajian di UUM adalah Fattah Amin dan Aril Pilus.

#Selebriti #Ijazah #Pengajian