Berita
Sambut Anniversary Ke-13, Suami Rebecca Coret Ucapan Romantik Panjang Lebar Di Subuh Hari..Sweet Teruk!
Lazimnya, golongan suami sering dikaitkan dengan sifat 'pelupa' akan hari-hari istimewa dalam hidup mereka.
Apatah lagi jika usia perkahwinan sudah semakin meningkat, acap kali kita mendengar kisah pasangan yang sudah hilang momen romantik untuk meraikan detik-detik bermakna mereka.
Begitupun, berbeza pula dengan pendekatan yang dilakukan suami pelakon Datin Rebecca Nur Al-Islam, Datuk Nor Azam Sulaiman, 52, yang dilihat cukup romantik meraikan sambutan ulang tahun perhubungan mereka yang ke-13 hari ini.
Mana tidaknya, menerusi satu entri di Instagram, Rebecca memuat naik satu paparan mesej berbentuk ucapan yang diterimanya seawal subuh hari.
Mesej ucapan itu dikirimkan suaminya menerusi pesanan WhatsApp pada pukul 5.47 pagi bagi menzahirkan perasaan cinta dan kasihnya terhadap Rebecca.
"Cinta saya terhadap awak tidak akan pudar. Selama ini saya mencintai kamu dan akan terus mencintai kamu sehingga nafas terakhir.
"Mencari pasangan yang betul memang sukar, namun dari awal lagi saya tahu yang awaklah insan yang paling tepat. Memiliki seorang isteri seperti kamu cukup bermakna buat saya," ucap sebahagian kata-kata daripada suaminya.
Nor Azam turut menzahirkan rasa bertuahnya apabila dapat mengahwini Rebecca yang disifatkan sebagai wanita paling cantik di dunia.
"Awaklah permata berharga dalam kehidupan saya. Kita sudah bertahun-tahun hidup bersama, namun, perasaan itu masih rasa tidak cukup. Saya tidak akan pernah boleh penat untuk terus jatuh cinta dengan awak," katanya lagi.
Dalam entri tersebut, Rebecca menzahirkan rasa terharu dengan ucapan suaminya itu.
"Terima WhatsApp pertama hari ini daripada cinta hati saya. Terima kasih untuk kata-kata indah dan manis suamiku.
"Percayalah tiada siapa boleh menggantikan awak dalam hati saya," katanya.
Rebecca, 34, mendirikan rumah tangga dengan Nor Azam pada 14 Januari 2011.
Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Nor Anggun Raverra, Nor Anggerik Renesmee, Nor Aliff Al-Raffael dan Nor Ahmet Al-Reaggan.
Mereka turut mempunyai dua anak angkat, Nor Adam Daniel dan Nir Aurora Riana.
Kredit foto: Instagram @rebeccanuralislammahmad