Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sambut Baik Kelonggaran Diberi Kerajaan, Tok Ti Bersyukur Dapat Kembali Bekerja Tapi Dengan Syarat…

Gempak
08/09/2021 03:25 MYT
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyambut baik kelonggaran yang diberikan oleh pihak kerajaan yang membenarkan penggiat industri kreatif lengkap dua dos vaksin di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kembali bekerja mulai esok, 9 September 2021.

Ujar Siti, beliau berasa bersyukur kerana penggiat seni di seluruh negara dapat menjalankan semula aktiviti yang sudah lama tertangguh, selain kembali membuka ruang pekerjaan untuk menjana pendapatan.

“Alhamdulillah, penantian para penggiat industri kreatif untuk kembali memulakan aktiviti, pekerjaan atau memproduksikan sesuatu dapat bermula semula.

“Perkara ini juga tentunya disambut dengan penuh rasa syukur dalam kalangan yang terlibat kerana mereka dapat bekerja, membuka semula ruang dan peluang pekerjaan serta dapat menjana pendapatan,” ujar penyanyi lagu Anta Permana itu kepada Gempak.

Sungguhpun begitu, beliau masih berhati-hati dan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di luar.

“Walaupun kelonggaran telah diberikan, namun kita semua harus menjaga SOP dalam melaksanakan aktiviti bagi memastikan faktor keselamatan dan kesihatan tetap menjadi keutamaan.

“Bagi saya sendiri yang melakukan perniagaan produk serta menghasilkan kerja-kerja seni, saya boleh mengorak langkah semula dan mengatur apa yang sesuai serta melaksanakan semua yang tertangguh sebelum ini.

“Saya tidak nafikan bahawa saya sendiri akan melihat apa yang sesuai atau tidak dalam waktu terdekat dan jangka masa panjang selama kita berada dalam pandemik dan endamik kita,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran tersebut yang membabitkan beberapa aktiviti termasuk pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada 2 September lalu.
#Penyanyi #Siti Nurhaliza #Kerajaan #SOP #Kelonggaran
;