Penyanyi Ratu Balqis menafikan menjalin hubungan istimewa dengan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful selepas dirinya dipanggil polis untuk memberikan keterangan.

Menurut laporan BH Online, Ratu Balqis yang juga bekas peserta program realiti, Mentor Milenia 2017, memberitahu, kehadirannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tengah hari semalam, adalah bagi membantu siasatan.

"Saya dipanggil ke IPD Petaling Jaya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan pihak polis terhadap dakwaan ke atas Syed Shah Iqmal.

"Polis temui rakaman video saya bersama dua lagi rakan menyambut hari jadi Syed Shah Iqmal di sebuah kafe di sini, pada 21 November lalu.

"Ia tidak lebih dari itu... Dia hanya rakan selebriti kerana kami berkecimpung dalam bidang yang sama. Saya penyanyi dan dia baru mengeluarkan single," katanya.

Balqis memberitahu, dia menghabiskan masa kira-kira sejam di IPD Petaling Jaya.

"Alhamdulillah, semuanya lancar dan saya dilayan baik. Ketika diberitahu perlu beri keterangan, saya agak terkejut.

"Pastinya kita gementar tetapi syukur tiada apa yang mahu dirisaukan... Saya tidak buat salah apa-apa," katanya yang ditemani pengurusnya Muhamad Firdaus Ibnil Hajar.

Mengulas perkenalannya dengan Syed Shah Iqmal, penyanyi berusia 21 tahun itu berkata, dia mula mengenali pendakwah itu, Oktober lalu.

Semalam, Syed berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Kompleks Mahkamah Shah Alam iaitu melakukan persetubuhan luar tabii dan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang pelajar wanita.

Pendakwah selebriti itu juga didakwa buat kali ketiga di Mahkamah Sesyen atas tuduhan merogol seorang wanita.

BACA: Didakwa Laku Seks Luar Tabii, Da'i Syed Mengaku Tidak Bersalah

BACA: Da'i Syed Mengaku Tidak Bersalah Merogol, Dilepaskan Dengan Ikat Jamin Sebanyak RM10,000 & Tiga Syarat Mahkamah