Laman Utama
Sambut Ulang Tahun ke 33 Seorang Di Mesir, Caprice: "Saya Tidak Pernah Berasa Sunyi Seperti Ini"
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menyambut ulang tahun ke 33nya hari ini. Memberi khabar terkini, Caprice memberitahu masih berada di Mesir seorang diri untuk meneruskan perjuangan dan jihadnya terhadap misi kemanusiaan di Gaza, Palestin.
Menerusi kemas kini tersebut, influncer dan rapper ini mencatatkan sedikit kembaranya dalam misi jihad sehingga menyambut ulang tahun ke 33 jauh dari keluarga dan rakan taulan.
Dia menyifatkan 40 hari terakhir yang dilaluinya ini sebagai paling sukar dalam hidup.
"25 Julai 2021. Ini telah menjadi 40 hari yang sangat sukar dalam kehidupan saya," tulisnya dengan foto berlatar belakang dipercayai panorama Mesir, siang tadi.
Caprice juga dilihat meluahkan perasaannya dengan menulis: "Ini adalah pertama kali kita beribadah dan berhijrah seorang di negara orang.
"Saya tidak pernah berasa sunyi seperti ini sebelum ini. Namun saya berasa lebih dekat dengan Allah sejak lima hari lalu."
Tanpa menjelaskan kesukaran yang dilalui, Caprice juga melahirkan rasa bersyukur terhadap apa yang telah berlaku.
"Alhamdulillah untuk semua yang telah berlaku. Insya Allah satu hari nanti semuanya akan masuk akal untuk anda dan semua umat," coretnya dalam bahasa Inggeris.
Terdahulu, Caprice mencetuskan kontroversi kerana hampir 'membongkar' sebuah kisah benar mengenai apa yang terjadi dalam misi kemanusiaan di Gaza membabitkan tokoh terkenal pendakwah dan dermawan Ustaz Ebit Lew.
Dia juga memaklumkan telah dihalang dari terus mengikuti Ebit Lew dalam akaun Instagramnya selepas menegur cara beliau dan pasukan sepanjang berada di Gaza.
Lantaran itu dirinya menerima banyak kecaman sehingga 'memaksa' Ebit Lew membuat pencerahan mengenai isu yang cuba ditimbulkan menerusi siaran Live di Instagramnya, baru baru ini.
Namun selepas pencerahan dibuat Ebit Lew dan penjelasan daripada satu pihak lain, banyak netizen mula menyokong Caprice dan masih meminta maaf kepadanya menerusi DM yang dikirimkan kepadanya.
"Caprice, saya minta maaf atas percakapan saya sebelum ini. Saya harap Cap maafkan saya," tulis seorang netizen.
Yang lainnya pula menyatakan sokongan terhadap Caprice untuk terus berjuang dengan misi dan jihadnya di Gaza demi umat Islam.
"Memang betul cakap Cap akhirnya kebenaran akan diketahui juga," tulis yang lain pula.
"Cap awak telah buat yang terbaik untuk Malaysia, jangan patah semangat," kata seorang netizen.
Dalam masa yang sama, rakan rakan baik dan peminat Caprice juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat ulang tahun ke 33 kepadanya sekaligus mendoakan agar semua yang dijalani lelaki ini dilindungi Allah.
"Happy Birthday juga to all my fellow July Babies," tulis Caprice dengan meninggalkan emoji hati.
Kredit Foto: Berita Harian
Instagram: @caprice