Sambutan Hebat, Pawana Isabella Tambah Hari Persembahan

Fiza Kamarudin
September 3, 2019 02:25 MYT
Mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton, persembahan teater Pawana Isabella akan disambung selama empat hari lagi, bermula 13 hingga 16 September ini.
Teater arahan Erma Fatima itu dipentaskan di Istana Budaya sejak 21 Ogos lalu dan sepatutnya berakhir pada 1 September lalu.
Bagaimanapun naskah lakonan Syafiq Kyle, Janna Nick, Azar Azmi, Datuk Afdlin Shauki, Ozlyn Waty dan Johan itu kembali ke pentas sempena sambutan Hari Malaysia.
Sementara itu, di laman sosial masing-masing para pelakon sudah mula berkongsi keterujaan mereka untuk kembali semula ke pentas Istana Budaya bersama Pawana Isabella.
Sementara itu pengrahnya, Erma Fatima berkata, persembahan tambahan selama empat hari itu diadakan khas buat peminat teater yang tidak berpeluang menonton sebelum ini.
“Semoga peluang ini dapat memberi peluang kepada para peminat dan penyokong teater tanahair yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket persembahan sebelum ini.
“Mereka yang sudah menontonnya juga dialu-alukan untuk kembali berhibur dengan persembahan ini,” katanya dalam sebuah kenyataan kepada Gempak.
Pawana Isabella membawa penonton ke suatu perjalanan bertemakan magis, menceritakan kisah keunggulan dan kejatuhan kerajaan Malayu Aksara di bawah Raja Pawana dan Permaisuri Isabella.
Negara Aksara ialah sebuah negara yang menyaksikan rakyatnya hidup dalam keselesaan dan kemewahan, namun tidak pernah bersyukur.
#Janna Nick #Teater #Pawana Isabella