HIBURAN

Sambutan Luar Biasa, Tiket Konsert Sulung Hael Husaini & Repertoire Hampir ‘Sold Out’

Umirah Halim 18/06/2025 | 02:25 MYT

Penyanyi dan komposer, Hael Husaini meluahkan rasa teruja apabila hampir 90 peratus tiket Konsert Hael Husaini & Repertoire yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos depan telah terjual.

Menurut Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 38, sambutan luar biasa itu benar-benar di luar jangkaan dan merupakan tanda sokongan peminat yang telah lama menanti konsert sulungnya.

“Sambutan memang tak dijangka. Konsert ini adalah janji saya kepada mereka yang sudah lama menunggu.

“Saya harap malam itu akan jadi satu pengalaman yang tidak dilupakan,” katanya ketika ditemui Gempak.

Bintang Rocketfuel Entertainment itu juga berkata, dia kini sedang giat melakukan persiapan bagi memastikan persembahan yang bakal dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur itu berjalan lancar.

“Persiapan masih dalam proses. Saya teruja sebab selepas hampir 10 tahun dalam industri, saya dapat tawaran untuk buat konsert buat peminat saya.

“Ini adalah konsert sulung saya jadi saya mahu rancang sebaiknya, ada seorang penyanyi wanita yang saya belum dedahkan lagi siapa dan bukan dia seorang sahaja yang saya tak dedahkan, mungkin ada lagi (penyanyi) yang akan turut serta dalam konsert itu,” ujarnya.

Mengangkat judul Konsert Hael Husaini & Repertoire, konsert tersebut bakal menampilkan rangkaian lagu-lagu ciptaan Hael sendiri yang pernah menjadi siulan ramai.

Lebih menarik, konsert tersebut turut menampilkan barisan penyanyi hebat tanah air termasuk Dayang Nurfaizah, Wany Hasrita, Nadeera dan Nabila Razali.

Untuk pembelian tiket sila layari di www.ticket2u.com

#Konsert #Hael #Husaini #Sold Out