Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sammy Somingkir & Kerispatih Tak Kekok Kongsi Pentas, Dedikasi Lagu Anuar Zain Sebagai Penghargaan

Syafiqah Jalal
26/02/2023 07:41 MYT
Kumpulan band terkenal Indonesia, Kerispatih dan bekas vokalisnya, Sammy Simorangkir berjaya memukau lebih 2,000 penonton dalam Konsert The Moments of Kerispatih With Sammy Simongkir yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Jumaat.

Peminat dan penonton yang hadir kelihatan puas dengan persembahan lebih dua jam daripada Sammy dan Kerispatih yang kini dianggotai Badai selaku keyboard, Anton (dram), Arief (gitaris), Andika (bass) dan vokalis Fandy.

Meskipun sudah lama membawa haluan masing-masing, Sammy memberitahu malam itu adalah satu momen yang sangat bermakna buat mereka kerana dapat bersatu di atas pentas demi menghiburkan peminatnya di Malaysia.

"Saya rasa amat terharu sekali kerana meskipun kami sudah berbeza jalan dalam bidang ini namun malam ini kami bisa bersama dalam satu panggung semuanya atas dasar cinta yang ada.

"Malah saya anggap persembahan ini adalah momen yang sangat bernostalgia.

“Konsert bersama Kerispatih memang memori yang indah. Dah bertahun-tahun lamanya kami tidak ke sini tapi orang Malaysia masih ingat lagi kami,” katanya ketika konsert berlangsung.

Persembahan bertenaga dari dua vokalis Sammy dan Fandy yang bersilih ganti mengambil alih pentas itu membuat penonton tiada masa senggang untuk berehat malah terus sama-sama 'sing a long' dengan rangkaian 21 buah lagu keseluruhannya pada malam itu.

Antara lagu lagu popular yang menggamit memori peminat Sammy dan Kerispatih adalah Mengenangmu, Tapi Bukan Aku, Bila Rasaku Ini Rasamu, Sedang Apa Dan Di Mana, Aku Harus Jujur, Demi Cinta dan banyak lagi.

Sementara itu, Sammy sempat berkongsi rasa tentang pengalaman pertama Kerispatih datang ke Malaysia sehingga sangat mengagumi penyanyi Anuar Zain.

“Masa datang ke Malaysia belasan tahun lalu, kami (Kerispatih) hanyalah band baharu yang tak ‘ngerti’ apa itu Kuala Lumpur dan kami harus terbang ke bandar tersebut.

“Waktu itu, kami terima penghargaan Anugerah Era. Ada karpet merah di mana-mana. Semua orang pakai tuxedo dan busana cantik-cantik, saya pakai seluar jeans koyak.

“Datang seorang lelaki gagah memperkenalkan diri kepada saya di belakang pentas acara berlangsung dan orang itu adalah Anuar Zain.

"Pada saya Anuar seorang artis Malaysia yang sangat luar biasa memberikan albumnya kepada kami ketika itu, buat kami tersentak. Kami bukan siapa-siapa waktu itu.

"Jadi harini kami akan menyanyikan lagunya sebagai penghargaan dan amat berbesar hati Anuar dapat hadir pada malam inu,"kongsi Sammy.

Anuar, 54, yang hadir menyaksikan konsert berkenaan memberikan tepukan sambil berdiri ketika mereka mendendangkan lagunya berjudul Lelaki Ini.

Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir dianjurkan oleh 4ward, Tiger Wong Entertainment dan MHT Live


#Anuar Zain #Pentas #Lagu #Kerispatih #Penghargaan #Kongsi #Dedikasi #Kekok #Sammy Somingkir
;